Himpunan aman tak langgar undang-undang, kata kumpulan peguam


Lawyers for Liberty berkata hak untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 September, 2023.

SEBARANG siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap individu yang terbabit dalam perhimpunan Selamatkan Malaysia di ibu negara Sabtu lalu mesti dihentikan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata kumpulan peguam.

Lawyers for Liberty (LFL) berkata hak untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan.

“Untuk polis mengisytiharkan perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana kegagalan memberikan notis yang mencukupi bukan sahaja melangkaui bidang kuasa akta, tetapi juga melanggar Perlembagaan.

“Walaupun terdapat pelanggaran seperti yang didakwa, namun ini dengan sendirinya tidak membenarkan polis mengisytiharkan sesuatu perhimpunan menyalahi undang-undang. 

“Hak untuk berhimpun secara aman adalah jaminan perlembagaan yang termaktub dalam perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan,” kata Pengarah LFL Zaid Malek dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam memetik Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid sebagai berkata polis telah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan Selamatkan Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman, kata Allaudeen.

“Kita sudah buka kertas siasatan dan akan memanggil mana-mana individu yang dapat membantu siasatan. Mereka akan dipanggil untuk rakaman keterangan dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu pada Sabtu, Allaudeen berkata perhimpunan kelmarin tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memenuhi butiran diperlukan oleh Jadual 4 dalam Seksyen 10 akta tersebut.

“Mengikut Seksyen 9 penganjur perlu kemukakan permohonan dan Jadual 4 dalam Seksyen 10 pula ada format yang penganjur kena patuhi yang telah diperuntukkan undang-undang, mereka kena ikut format itu.

“Antaranya kena nyatakan dengan jelas siapa penganjur, kena dapatkan kebenaran pemilik premis dan tanah di kawasan perhimpunan diadakan, seterusnya sertakan sekali kebenaran itu dalam permohonan yang dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Mengulas lanjut, Zaid berkata siasatan berterusan atas dakwaan kegagalan memberikan notis sewajarnya dibuat tanpa sebarang asas undang-undang. 

Memetik keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad lawan pendakwa raya pada 2014, Zaid berkata mahkamah telah pun menolak Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman kerana bercanggah perlembagaan.

“Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes ini masih kekal dan tidak dibatalkan oleh mahkamah yang lebih tinggi,” katanya. – 18 September, 2023.
 
Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen