Putrajaya haramkan Mentega Terbang


Mentega Terbang, arahan Khairi Anwar, mengisahkan seorang remaja Muslim yang mempertanyakan persoalan hidup selepas mati dalam fahaman pelbagai agama. – Gambar Facebook, 13 September, 2023.

PUTRAJAYA mengharamkan filem “Mentega Terbang”, menurut warta kerajaan yang diterbitkan awal bulan ini, hampir enam bulan selepas laporan mengenainya dibuat kepada pihak berkuasa.

Larangan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution melalui perintah yang ditandatanganinya pada 21 Ogos lepas.

Larangan itu menjadikan filem berkenaan tidak boleh ditayang, dipamer, diedar, disebar, malah tidak boleh juga dijual dan dimiliki, termasuk bahan publisitinya, atas alasan “bertentangan dengan kepentingan awam”.

Saifuddin membuat perintah larangan itu mengikut Seksyen 26 Akta Penapisan Filem 2002, yang wartanya diterbitkan di laman web perundangan persekutuan pada 1 September.

Mentega Terbang, arahan Khairi Anwar, mengisahkan seorang remaja Muslim yang mempertanyakan persoalan hidup selepas mati dalam fahaman pelbagai agama.

Filem itu tidak melalui tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) tetapi ditayangkan di beberapa lokasi termasuk di Universiti Malaya dalam program tertutup sejak April 2021.

Pada November 2021, filem ini terpilih dan ditayangkan di Festival Filem Asia Jogja-NETPAC di Indonesia.

Mentega Terbang mula menarik perhatian umum selepas lebih sebulan ditayangkan di platform penstriman Viu sejak 19 Januari 2023. 

Pihak Viu lalu menarik balik tayangan filem itu berkuat kuasa 27 Februari.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan kemudian memaklumkan penerbit filem berkenaan, iaitu Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment, tidak memohon Surat Perakuan Penggambaran (SPP) serta tidak memiliki lesen pengeluaran filem.

Dalam reaksinya di tengah-tengah kekecohan isu mengenainya, bekas menteri agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri, selepas menonton filem itu berkata Mentega Terbang boleh memesongkan akidah. β€“ 13 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen