Perkasa peraturan Dewan Rakyat, hukum ahli Parlimen berkata kesat


TELAH berlalu persidangan Dewan Rakyat selama tiga hari dari 28 hingga 30 November lalu yang menyaksikan ahli-ahli Parlimen membuat perbahasan terhadap pindaan undang-undang, pemeriksaaan dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan juga membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan orang ramai.

Namun begitu persidangan ini turut menyaksikan kesukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Speaker Johari Abdul mengawal ahli-ahli Parlimen untuk tunduk patuh pada Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau ada menyebut, “Dengar, saya tidak peduli apa yang berlaku di luar. Kamu pegawai kerajaan ke, kamu general manager ke, selagi kamu di dalam dewan saya, ini bukunya.” sambil menunjukkan buku Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sebagai peringatan pada semua hadirin.

Malangnya situasi yang tidak menyenangkan ini sentiasa berlaku semasa persidangan. Peraturan mesyuarat sering dilanggar dan kadangkala dicemari dengan pernyataan buruk, menghilangkan adab dan santun seorang pemimpin.

Pemimpin jadi contoh

Seorang pemimpin pasti mempunyai pengikut, penyokong atau sekelompok individu yang berada di bawah lingkaran pengaruh kepemimpinannya untuk dibawa ke satu tahap mercu kejayaan.

Oleh sebab itu kewibawaan menjadi aspek yang tidak boleh diabaikan oleh seorang pemimpin kerana ciri keperibadian ini yang membentuk citra sebagai tokoh yang patut dihormati dan dapat dipercayai dalam memimpin.

Namun hakikatnya penghormatan itu perlu diraih, bukan diminta. Kesopanan tutur bicara adalah refleksi kepada akhlak mulia yang sewajarnya dimiliki oleh mana-mana pemimpin yang dihormati.

Dalam hal ini ahli Parlimen perlu mengelak daripada berkata kesat dan berbicara berbaur perkauman, seksis, penghinaan dan subversif agar debat dalam Parlimen menjadi lebih konstruktif dan berkualiti.

Ahli-ahli Parlimen harus beringat rakyat yang memilih dan mengundi mereka menilai dari masa ke masa dan jangan sampai dihukum atas kesalahan menjatuhkan maruah diri sendiri dengan kata-kata nista.

Berkata baik tuntutan Islam

Berkata baik amat dituntut dalam Islam dan ia sebahagian daripada akhlak yang mulia. Banyak dalil daripada al-Quran dan hadis yang menunjukkan kepentingan berkata baik dan kaitannya dengan keimanan, bahkan Rasulullah SAW sendiri adalah contoh jelas untuk dijadikan teladan.

“..dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (An-Nisaa’: 5)

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran)...” (Al-Israa’: 53)

Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a, beliau berkata: “Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama?’ Baginda menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat daripada lisannya dan tangannya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari)

Perkasakan peraturan mesyuarat

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dilihat tidak cukup berupaya menangani isu yang mengaibkan ini walaupun ungkapan sebegini tidak dibenarkan di bawah Peraturan 36(4), (6) dan (10) kerana tiada hukuman dikenakan apabila peraturan sedemikian dilanggar.

Mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan pula, seseorang ahli parlimen tidak boleh dibicarakan di mahkamah bagi apa-apa kenyataan yang dibuat ketika Dewan Rakyat bersidang, melainkan kenyataan tersebut berbaur hasutan.

Perkara ini adalah keistimewaan bagi setiap ahli parlimen dengan tujuan agar ahli-ahli parlimen dapat melaksanakan fungsi mereka dengan berkesan, tanpa campur tangan sesiapa bagi mengekalkan kebebasan dan kuasa. Namun, keistimewaan ini datang dengan pertanggungjawaban agar tidak diselewengkan.

Isu ini dilihat masih berterusan kerana ketiadaan penalti yang boleh dikenakan sebagai akibat daripada perbuatan yang dilakukan.

Di sini hukuman berat harus dikenakan sebagai langkah mendisiplinkan ahli Parlimen agar adab-adab dalam parlimen dipatuhi.

Kekerapan pelanggaran peraturan sidang dewan mengisyaratkan bahawa sudah tiba masanya untuk Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dilihat semula berserta penguatkuasaannya oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat selaku Lembaga Tatatertib Dewan Rakyat.

Penting untuk menguatkuasakan dan memperkasakan peraturan mesyuarat yang sedia ada untuk melindungi martabat parlimen.

Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional pernah mengeluarkan kenyataan media pada 22 Julai 2022 berhubung perkara ini dan mengemukakan langkah proaktif membendung isu sebegini melalui pindaan Peraturan Mesyuarat 36 seperti berikut:

(i) Pesalah mesti dirujuk secara automatik kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat;

(ii) Jika didapati bersalah, mereka akan didenda sekurang-kurangnya RM500.

(iii) Hukuman lebih berat harus dikenakan bagi kesalahan berulang, dengan penggantungan secara mandatori menjadi pilihan untuk memaksa parti atau whip parti menguatkuasakan disiplin dalam kalangan ahli parlimen parti mereka.

Setiap ahli parlimen dibayar RM400 sebagai elaun kerana menghadiri persidangan Majlis Parlimen.

Cadangan denda sebanyak RM500 adalah sebagai denda yang setara dengan pembatalan kehadiran mereka akibat melanggar Peraturan Mesyuarat.

Penggantungan mandatori ahli Parlimen yang melanggar peraturan adalah langkah yang perlu untuk memberi amaran keras.

Ia tidak hanya menghukum individu yang melanggarnya, tetapi juga mendorong parti politik untuk menguatkuasakan disiplin dalaman bagi menghindari kehilangan hak mengundi dalam Dewan Rakyat.

Parlimen perlu dihormati

Pemimpin seharusnya menjadi teladan dalam sikap dan tutur bicara mereka. Fenomena ini telah merosakkan kewibawaan Parlimen sebagai institusi yang sewajarnya dihormati dan dipercayai oleh rakyat.

Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli Parlimen yang diberikan kuasa untuk menggubal, meluluskan dan meminda undang-undang di peringkat Persekutuan, memeriksa dasar-dasar kerjaaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.

Dewan Rakyat juga berperanan untuk meluluskan belanjawan negara dan bertindak sebagai medan membincangkan permasalahan rakyat dan mekanisme semak dan imbang untuk kerajaan persekutuan.

Tugas yang dipertanggungjawabkan harus disandang oleh wakil rakyat yang mempunyai keupayaan untuk berdebat dengan bernas dan berkualiti.

Pindaan peraturan dan langkah-langkah tegas diharapkan dapat membina Parlimen yang lebih dihormati, beretika dan menjunjung tinggi kewibawaan.

Memastikan ahli Parlimen dan parti politik merasakan akibat serius atas perilaku yang tidak bermartabat adalah langkah awal dalam memulihkan citra dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penting ini. – 6 Disember, 2023.

* Badlishah Sham Baharin, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen