Ahli Parlimen Bersatu nyata sokongan bukan kerana habuan, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah menjanjikan habuan kepada ahli parlimen pembangkang untuk menyokong beliau atau kepimpinannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 November, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata, tindakan ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan adalah disebabkan pencapaian pentadbiran semasa dan bukannya terpengaruh dengan habuan kewangan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau tidak pernah menjanjikan habuan kepada ahli parlimen pembangkang untuk menyokong beliau atau kepimpinannya.

“Mereka (pemimpin pembangkang) kata kami rasuah mereka. Tidak.

“Saya tak jumpa mereka sebelum mereka buat keputusan. Bila nak jumpa saya, saya suruh mereka buat keputusan dulu, baru saya jumpa.

“Dan keputusan mereka (untuk menyokong kerajaan) adalah kerana mereka faham dasar kita dan mereka melihat pembangunan ekonomi serta negara,” kata presiden PKR itu ketika ucapan penggulungan Kongres Tahunan PKR ke-17 di Putrajaya hari ini.

Empat ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Anwar sekali lagi menegaskan kerajaan di bawah pentadbirannya adalah “sangat stabil” dan tidak ada sebab untuk bimbang ia akan runtuh.

“Sudah tentu Perikatan Nasional akan mengatakan perkara seperti kerajaan ini goyah, dan tidak ada harapan untuk kerajaan ini menghalang ahlinya daripada meninggalkan parti.

“Jika PAS, mereka ada cara tersendiri untuk mematahkan semangat ahli Parlimen mereka,” kata Anwar.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Bersatu Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa dua orang yang rapat dengan Anwar cuba “memancing” ahli Parlimen pembangkang untuk menyatakan sokongan kepada kepimpinannya. – 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen