Sidang Dewan Rakyat labuh tirai, 12 RRU lulus


MESYUARAT Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 melabuhkan tirainya selepas 32 hari bersidang sejak 9 Oktober hingga semalam, dengan 12 rang undang-undang (RUU) diluluskan termasuk Belanjawan 2024.

Belanjawan terbesar dalam sejarah negara membabitkan peruntukan RM393.8 bilion dibentang Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lepas, dibahas di peringkat dasar dan jawatankuasa kira-kira enam minggu sebelum diluluskan pada 27 November lalu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara.

Sidang kali ini juga mencatat sejarah dengan lulusnya RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, akan menjadi undang-undang pertama khusus dalam mengawal selia produk merokok di Malaysia.

Meskipun rata-rata ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mahukan supaya peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) yang digugur daripada RUU itu dikembalikan, ia diluluskan dengan undian suara tanpa pindaan pada hari terakhir sidang dewan.

Persidangan turut meluluskan 10 RUU lain iaitu RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023, RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023, RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 dan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023.

Selain itu, RUU Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023, RUU Syarikat (Pindaan) 2023, RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, RUU Kewangan (No.2) 2023, RUU Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023 dan RUU Makanan (Pindaan) 2023.

Sidang dewan juga meluluskan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk mengatasi masalah struktur pasaran buruh melalui reformasi gaji.

Sementara itu, perjuangan rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza menjadi antara topik utama dibangkitkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang sepakat menyokong perjuangan rakyat Palestin menuntut hak dan kedaulatan mereka.

Turut mencuri tumpuan, ucapan dalam bahasa Inggeris Anwar untuk khalayak antarabangsa menyatakan Malaysia menolak sekeras-kerasnya segala bentuk keganasan dan mengutuk tindakan membunuh insan tidak berdosa di Palestin ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada 31 Oktober lepas.

Persidangan kali ini juga “hangat” selepas Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal secara terbuka di Dewan Rakyat mengisytihar menyokong Anwar dan kerajaan Madani pada 28 November lepas.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada kepimpinan perdana menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Gelagat ahli Parlimen daripada kedua-dua blok sehingga menimbulkan kekecohan turut mewarnai sesi kali ini dengan tiga ahli Parlimen iaitu Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar), Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Awang Hashim (PN-Pendang) diarah keluar dewan.

Persidangan Dewan Rakyat yang terakhir bagi tahun ini, ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan. – Bernama, 1 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen