Bersatu gagal cabar 4 ahli Parlimen GRS kosongkan kerusi di Parlimen


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Bersatu kerana segala perkara yang berbangkit di Parlimen, termasuk keputusan speaker Dewan Rakyat, tidak boleh dirujuk ke mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2023.

BERSATU tidak mendapat kebenaran mahkamah untuk memulakan tindakan undang-undang semakan kehakiman terhadap keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyokong kerajaan, lapor media.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Bersatu kerana segala perkara yang berbangkit di Parlimen, termasuk keputusan speaker Dewan Rakyat, tidak boleh dirujuk ke mahkamah.

Hakim Amarjeet Singh membuat keputusannya berdasarkan keistimewaan Parlimen yang dilindungi mengikuti Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Empat ahli Parlimen itu bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket GRS, ketika Bersatu adalah anggota gabungan itu di Sabah.

Mereka ialah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Pada awal Disember 2022, pemimpin Bersatu di Sabah keluar parti namun kekal dalam GRS.

Mereka kemudian mempertahankan pendirian tidak bertanding PRU15 sebagai ahli Bersatu, sebaliknya atas tiket GRS.

Susulan itu, pada Januari lepas Johari memutuskan empat ahli Parlimen itu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Bersatu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada April 2023 memohon perisytiharan bahawa kerusi Papar, Batu Sapi, Ranau, dan Sipitang sudah kosong dan perlu diadakan satu pilihan raya semula. – 16 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen