Speaker Dewan Rakyat harap perbahasan lebih matang


Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata meskipun peranan ahli Parlimen adalah penting namun tanggungjawab mereka perlu melangkaui politik kepartian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2023.

SPEAKER Dewan Rakyat Johari Abdul berhasrat menyaksikan perbahasan lebih matang dan representasi menyeluruh di dewan-dewan Parlimen Malaysia, di mana keputusan penting dibuat bagi menentukan masa depan negara.

Meskipun peranan ahli Parlimen adalah penting, Johari berpendapat tanggungjawab mereka perlu melangkaui politik kepartian.

Dalam temu bual dengan wartawan Bernama di Singapura baru-baru ini selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan dari Singapura Seah Kian Peng, Johari menggariskan beberapa kelemahan yang beliau saksikan semasa mempengerusikan sesi Dewan Rakyat.

“Apabila sesi berlangsung, orang ramai sama ada di dalam negara atau di luar negara menyaksikan secara langsung apa yang berlaku di Parlimen. Sudah tentu, sebagai apeaker saya ingin melihat perbahasan yang lebih matang; bukan itu sahaja, ahli Parlimen sepatutnya membincangkan isu membabitkan kawasan pilihan raya mereka.

“Semua orang mengharapkan mereka memainkan peranan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan. Untuk itu, anda memerlukan maklumat. Anda memerlukan pengetahuan tentang apa yang sedang berlaku,” kata Johari.

Johari, 68, yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-11 sejak Disember 2022, berkata bahawa adalah amat penting bagi setiap ahli Parlimen untuk membaca.

“Saya pernah melihat beberapa ahli Parlimen datang dalam keadaan tidak bersedia. Mereka hadir namun tidak cukup bersedia dalam banyak perkara. Jadi, kita tidak melihat apa-apa dalam perbahasan,” katanya meluahkan kekecewaan.

Johari juga mendapati ada ahli Parlimen yang banyak memainkan isu-isu memecahbelahkan.

“Mereka berulang kali menyentuh mengenai 3R (agama, raja dan kaum).

“Pendekatan terbaik adalah mematuhi panduan sedia ada apabila membincangkan topik sensitif ini. Walaupun ia penting, ia harus ditangani dengan cara berhemah dengan memupuk penerimaan dan persefahaman dalam kalangan semua pihak yang terlibat. Sudah tiba masanya untuk mengalihkan tumpuan kepada perkara lain.

“Kita harus memperuntukkan lebih banyak masa menangani perkara yang dinamik dan mendesak,” katanya, merujuk kepada perbahasan semasa mengenai Belanjawan Malaysia Madani 2024 di Dewan Rakyat.

“Beliau juga berpendapat ahli Parlimen bukan sahaja perlu menganalisis angka-angka berkaitan belanjawan tetapi menawarkan nasihat berharga kepada kerajaan. – Bernama, 8 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen