Permainan baharu 'lompat parti'


K. Kabilan

Lebih banyak wakil rakyat pembangkang berpaling tadah bermakna sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat bertambah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2023.

ADA satu permainan politik baharu yang sedang dimainkan di peringkat tertinggi, yang boleh memberi kesan kepada kekuasaan juga di peringkat tertinggi.

Sama seperti permainan dam ular yang tidak lekang dek zaman, dadu yang dilempar dalam permainan baharu ini menentukan nasib para pemainnya (anggota Parlimen), parti mereka (setakat ini haya sebuah parti politik terlibat) dan pada akhirnya, perdana menteri dan pentadbirannya.

Matlamat akhir permainan ini ialah untuk memastikan sokongan yang kuat kepada perdana menteri, yang membolehkan beliau untuk memiliki majoriti dua pertiga yang kukuh di Parlimen.

Ya, ini bukan baru, tetapi aturan permainan ini dan taktik yang digunakan pastinya baru, bertujuan untuk mengatasi undang-undang antilompat parti yang terpakai pada 5 Oktober tahun lalu.

Undang-undang itu bertujuan menyekat “katak politik” daripada belot dan untuk menghormati mandat daripada pengundi.

Bagaimanapun ada kelompongan pada undang-undang yang membolehkan empat ahli Parlimen Bersatu memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim dan kerajaannya.

Seorang lagi ahli Parlimen juga membayangkan akan mengikut jejak langkah mereka sekiranya beliau diberi jaminan dapat peruntukan untuk kawasannya.

Melihat bagaimana rancaknya permainan baharu ini sedang dimainkan, mungkin masih ada banyak lagi ahli Parlimen Bersatu yang akan memberikan sokongan kepada PM Anwar.

Berikut adalah cuplikan permainan ini dan maksudnya.

Wakil rakyat yang “lompat”

Ahli Parlimen Bersatu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) sudah secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada Anwar dan kerajaan perpaduan.

Malah Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata keempat-empat mereka memohon untuk duduk di bangku kerajaan di Dewan Rakyat.

Namun mereka juga menyatakan setia kepada Bersatu dan tidak akan meninggalkan parti.

Ini jelas untuk mengelak kesan undang-undang antilompat parti kerana mereka akan hilang kerusi sekiranya keluar parti.

Oleh itu, mereka melakukan pilihan terbaik yang berikutnya – kekal dalam parti tetapi menolak pendirian parti dengan menyokong perdana menteri dan kerajaannya.

Alasan utama mereka “tukar kapal” ialah kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada pengundi kerana ada keperluan mendesak untuk peruntukan pembangunan.

Oleh sebab kerajaan persekutuan enggan memberikan peruntukan kepada pembangkang, empat wakil rakyat ini berkata mereka memutuskan untuk menyokong Anwar dan kerajaannya demi mendapatkan peruntukan tersebut.

Pada Khamis, seorang lagi ahli Parlimen Bersatu menjelaskan perkara ini dengan lebih terang.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal memberitahu Dewan Rakyat yang beliau juga sedia menyokong kerajaan sekiranya dana diperuntukkan untuk kawasannya dan bagi beberapa program yang beliau perkenalkan. Beliau malah memberikan jumlah yang beliau perlukan.

Sekiranya peruntukan pembangunan jadi umpan, lebih banyak lagi wakil rakyat pembangkang akan tertarik untuk melompat.

Pada masa ini, ahli Parlimen kerajaan dapat hampir RM4 juta sementara pembangkang tidak dapat apa-apa.

Parti yang terjejas

Bersatu pastinya terperangkap. Kalau ia memecat mereka yang belot, mereka tidak akan hilang kerusi sebaliknya boleh menyertai parti lain. Ini hanya akan memudahkan pembelot parti ini.

Bersatu mendakwa ada orang yang rapat dengan perdana menteri sedang memujuk wakil rakyatnya dengan menawarkan mereka projek dan dana pembangunan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2023.

Oleh itu, Bersatu memutuskan untuk menggantung Iskandar selama empat tahun dan Suhaili enam tahun. Keputusan ke atas dua lagi wakil rakyat dijangka akan dibuat tidak lama lagi.

Ketika ia berhadapan dengan empat wakil rakyat, Ahli Parlimen Bukit Gantang menyertai senarai pembelot. Senarai itu mungkin akan lebih panjang.

Bersatu mendakwa ada orang yang rapat dengan Anwar sedang memujuk wakil rakyatnya dengan menawarkan mereka projek dan dana pembangunan. Ini dinafikan oleh perdana menteri.

Namun apa yang jelas ialah sekurang-kurangnya dua daripada wakil rakyat yang belot ini sudah menerima peruntukan kawasan hanya beberapa hari selepas menyatakan sokongan kepada Anwar.

Bersatu menang 31 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lepas. Ia sudah hilang empat, dan mungkin akan hilang lebih banyak lagi kerusi pada hari-hari dan minggu-minggu mendatang.

Pemimpinnya juga sedang menghadapi kes jenayah di mahkamah, termasuk presiden parti Muhyiddin Yassin.

Mereka berhadapan risiko disabitkan tuduhan dan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam jangka waktu yang singkat, kehilangan wakil rakyat akan nenjejaskan kedudukan Perikatan Nasional (PN).

Bersatu kini menerajui PN walaupun PAS ada lebih banyak kerusi (43), dengan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan.

Sekiranya lebih ramai wakil rakyat Bersatu berpaling tadah, Muhyiddin akan hilang wibawa dan kedudukannya dalam Bersatu. Beliau mungkin terpaksa melepaskan peranannya mengetuai PN.

Siapa menang?

Hanya ada seorang pemenang dalam permainan ini – Anwar Ibrahim.

Lebih banyak wakil rakyat pembangkang berpaling tadah bermakna sokongan kepadanya di Dewan Rakyat bertambah.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar berjaya menjalin sokongan daripada bekas musuhnya Umno dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan dukungan dua pertiga di Dewan Rakyat – yang pertama sejak Barisan Nasional hilang dua pertiga pada 2008. 

Tetapi apabila Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik balik sokongannya kepada blok kerajaan di Parlimen pada 10 September, Anwar hilang dua pertiga di Dewan Rakyat apabila hanya ada 147 wakil rakyat yang menyokong kerajaan.

Syed Saddiq pindah ke blok pembangkang selepas tidak puas hati dengan pemberhentian mendadak perbicaraan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah.

Beliau juga berkata peruntukan untuk kawasannya ditarik balik selepas pindah kerusi.

Dengan tambahan empat wakil rakyat yang beralih ke blok kerajaan, Anwar sekali lagi memiliki majoriti dua pertiga. Pada masa ini, beliau ada 151 kerusi dan angka itu akan bertambah.

Kenapa semua ini penting?

Pertama, ia menunjukkan kedudukan perdana menteri tidak goyang. Beliau tidak boleh disingkirkan oleh sesiapa yang membilang angka sokongan.

Tetapi lebih mustahak lagi, beliau kini ada sokongan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan apa saja perubahan – politik atau institusi – yang diinginkannya.

Ini termasuk pindaan mengenai kewarganegaraan (yang sudah dibawa ke Dewan Rakyat), atau mungkin menambah kawasan pilihan raya yang boleh menguntungkan gabungan yang memerintah. – 11 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen