Musuh sebenar PAS ialah jahil, bukannya arak


PADA 23 November lalu, satu mesyuarat Lembaga Pelesenan (Eksais) Kuala Lumpur (ELBKL) dipanggil selepas setahun tertangguh untuk memproses, menimbang dan meluluskan serta menolak pembaharuan lesen dan bagi permohonan baharu.

Mesyuarat itu dihadiri wakil Kastam, polis dan agensi dalaman Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar.

Memandangkan lebih setahun mesyuarat tidak dipanggil, maka jelas wujud tunggakan permohonan baru dan permohonan bagi mereka yang ingin memperbaharui lesen minuman keras.

Permohonan pembaharuan dinilai satu per satu dengan ulasan dan “tiada bantahan” mengikut garis panduan yang sedia ada oleh Kastam, polis, agensi dalaman dan akhirnya diundi oleh ahli lembaga.

Tiada kelulusan secara “pukal” dan semua isu serta keresahan yang dibangkitkan sudah dijelaskan.

Ini bermakna semua permohonan pembaharuan melalui semakan menyeluruh melalui agensi dalaman DBKL, polis, Kastam serta ahli lembaga mengikut garis panduan serta undang-undang sedia ada dan tidak diveto oleh mana-mana pihak.

Undang-undang jelas menyatakan penjualan arak adalah bagi orang bukan Islam dan terikat dengan masa yang terhad.

Apa yang PAS maksudkan dalam kenyataan akhbar mereka? Apakah maksud mereka kerajaan mengambil sikap sambil lewa mengenai perkara ini?

Nampaknya Pemuda PAS Wilayah Persekutuan terdesak untuk kekal relevan dengan membangkitkan sesuatu yang tidak kena mengena dengan mereka.

Di manakah suara Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berhubung isu gelandangan khususnya gelandangan belia di Kuala Lumpur?

Mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan yang tidak mempunyai akses kepada makanan, pendidikan dan rumah atau perlindungan yang selamat dan selesa?

Di manakah suara mereka mengenai ibu dan bapa tunggal yang bergelut untuk mencari nafkah?

Di manakah suara mereka mengenai penderaan seksual dan fizikal kanak-kanak serta keganasan berasaskan jantina?

Di manakah suara mereka untuk orang asli dan pelarian?

Fokus mereka nampaknya semata-mata menjurus kepada masalah sosial disebabkan penjualan arak. Betapa kolotnya pemikiran mereka.

Dalam artikel MalayMail pada September 2023 bertajuk “Tinjauan: Di Malaysia, pelarian, pendatang, belia gelandangan, kanak-kanak jalanan berisiko kehilangan makanan, pendidikan”, satu badan bukan kerajaan (NGO) dikenali Human Rights Measurement Initiative (HRMI) menjalankan tinjauan ke atas masalah kritikal lima hak ekonomi dan sosial di Malaysia yang menggariskan hak jaminan makanan, pendidikan, kesihatan, perumahan dan pekerjaan.

Laporan itu meliputi Kedah, Kelantan, Sabah, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak mengenai pelbagai topik daripada perubahan iklim, kemiskinan, akses kepada keperluan asas kepada isu yang dihadapi oleh golongan Orang Asli dan orang asal.

Tidak pernah disebut dalam rencana tersebut perkataan “alkohol” atau “arak” sebagai faktor penyumbang kepada gugatan lima hak teras ini.

Abdul Razak Ramli mesti celik dan melihat isu-isu kemanusiaan dan dan ekonomi ini yang mendesak ini seperti memastikan keterjaminan makanan, terutamanya bagi miskin bandar, melindungi golongan rentan—kanak-kanak, belia dan wanita dan bukannya seperti katak dibawah tempurung, memberikan reaksi ini semata-mata untuk memenuhi syarat mengutus kenyataan media mereka sebelum hujung tahun.

Orang bukan Islam mempunyai hak dan pilihan untuk minum arak dan penjual yang terikat dengan undang-undang dan garis panduan yang sedia ada adalah bertanggungjawab untuk mematuhinya.

Selain itu, sumber pendapatan DBKL juga adalah dari lesen menjual arak yang diguna pakai untuk pembangunan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan perlu belajar untuk hidup bersama secara harmoni dan belajar menghormati perbezaan budaya dan kepercayaan dan dalam konteks ini, hak untuk memilih.

Kemarahan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan seharusnya ditujukan kepada unsur salah guna kuasa, rasuah, diskriminasi, ketidakadilan dan bukannya terhadap penjualan arak semata-mata.

Kepada Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, musuh sebenar di sini ialah kejahilan, kealpaan dan kedangkalan dan bukannya arak. – 2 Disember, 2023.

* Kasthuri Patto, ahli Lembaga Pelesenan Eksais DBKL.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen