12 lelaki didenda RM3,000 setiap seorang kerana merusuh guna senjata


SERAMAI 12 lelaki masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah merusuh menggunakan senjata di hadapan sebuah kondominium di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras awal bulan ini.

Mereka ialah Muhammad Farid Khalid, 35, Amir Aizuddin Alfarizan, 23, Muhammad Lum Chang Sing, 24, Mohammad Hakimi Mohd Hanafi, 27, Muhammad Firdaus Azizul Rahman, 26, Chan Weng Loon, 25, Khoo Ming Ru, 30, Wong Jia Jiet, 26, Tan Jin Aun, 26, Wong Zi Jing, 25, Kesavan, 19, dan Wan Yi Han, 28.

Majistret Illi Marisqa Khalizan turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kesemua tertuduh yang bekerja sebagai penarik kereta, pemandu lori, jurujual dan mekanik membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki itu didakwa bersama-sama hadir (atau menyertai atau didapati berada) dalam rusuhan dan memiliki senjata api (sama ada amunisi, bahan letupan, benda melecur, benda yang boleh memudaratkan, kayu, bata atau apa-apa senjata) yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras pada 1.37 pagi, 2 Oktober lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh namun peguam Hannan Ishak dan Tripatjit Singh, mewakili kesemua tertuduh memohon denda minimum atas alasan anak guam mereka telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

 Sebelum ini media melaporkan polis menahan beberapa lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan dipercayai membabitkan dua kumpulan pekerja trak penunda kereta kerana berebut pelanggan di Kampung Malaysia Tambahan. – Bernama, 12 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen