Lebih 500 hadir Himpunan Selamatkan Syariah di Putrajaya


Kalidevi Mogan Kumarappa

Lebih 500 sertai Himpunan Selamat Syariah di Istana Kehakiman, Putrajaya ketika Mahkamah Persekutuan ditetapkan mendengar permohonan dua individu cabar keabsahan peruntukan enakmen jenayah Islam di Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November, 2023.

LEBIH kurang 500 menyertai Himpunan Selamat Syariah di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya ketika Mahkamah Persekutuan ditetapkan untuk mendengar permohonan dua individu mencabar keabsahan beberapa peruntukan enakmen jenayah Islam di Kelantan.

Perhimpunan dimulakan dengan solat hajat yang turut disertai beberapa pemimpin politik dari Perikatan Nasional.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya berkata himpunan seperti itu akan terus diadakan sekiranya ada ancaman kepada undang-undang Islam.

“Kita bermunajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara supaya jangan ada pihak yang mengganggu gugat Malaysia.

“Kita bermunajat supaya pihak peguam dan hakim membuat keputusan betul dan Islam akan terus dimartabatkan di negara ini,” katanya.

Tuan Ibrahim menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai “usaha golongan liberal” menggugat kestabilan dan perundangan Islam.

Perhimpunan turut disertai antaranya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin.

Perhimpunan hari ini diadakan untuk membantah petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan peruntukan-pertuntukan itu sebagai terbatal dan tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Beberapa peguam dan pakar undang-undang bagaimanapun melihat permohonan hari ini berkenaan proses penggubalan undang-undang dan bukannya mencabar undang-undang Islam. – 20 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen