Saarani nafi dakwaan PAS Perak langgar arahan larang eksport REE


Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menempelak dakwaan PAS kerajaan negeri melanggar larangan eksport NR-REE. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2023.

MENTERI Besar Perak Saarani Mohamad menempelak dakwaan PAS kerajaan negeri melanggar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai dangkal dan tidak menyelidik terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi bagi mewujudkan persepsi tidak baik kepada kerajaan negeri.

“Beliau (Tuan Ibrahim) perlu tahu projek perintis NR-REE di tanah berkeluasan 87.4 hektar di Mukim Kenering, Hulu Perak bermula selepas memperoleh kelulusan dari segi perundangan daripada agensi teknikal selain kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri dan Perak negeri pertama yang mengusahakannya.

“Sebagai projek rintis kita kalau mahu tahu nilai pasaran NR-REE, terpaksa kena eksport kerana negara kita tidak mempunyai kilang untuk proses dan ia dilakukan sebelum larangan eksport dikeluarkan September lalu, sedangkan kita sudah jual sejak Januari lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis perasmian ulangtahun ke-5 Geopark Lembah Kinta dan pelancaran International Geopark Run 2024 @ Ipoh Low Carbon Day di Dataran Bandaraya Ipoh hari ini.

Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat merasmikan program berkenaan dan turut berangkat ke majlis itu Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Menurut Saarani kerajaan negeri ketika mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) turut meminta Perak diberikan moratorium dalam penjualan NR-REE.

“Kita minta diberikan pengecualian untuk mengeksport serta menjual NR-REE hingga NRECC ada keputusan dan peraturan berkait NR-REE di seluruh negara. Walaupun negeri lain turut mempunyai NR-REE, Perak adalah pemulanya, jadi beliau (Tuan Ibrahim) tidak perlu runsing mengenai perkara ini.

“Kita akan terus mencari gali hingga ada peraturan yang tidak membenarkan kita menjual, malah kita membuat unjuran hingga penghujung tahun ini dengan Perak dijangka menjana hasil royalti sekitar RM21 juta,” katanya.

Beliau berkata, hasil lawatan pihaknya ke Nanning, China turut melihat sendiri bagaimana NR-REE diproses untuk menghasilkan 15 elemen lain dan ia berbaloi.

“Kita turut berkesempatan melihat sendiri bagaimana mereka (China) memulihkan kembali kawasan yang digali dengan menjadikan kawasan yang subur dengan tanaman buah-buahan dan lain-lain,” katanya.

Semalam, Tuan Ibrahim dilapor mempersoalkan tindakan kerajaan Perak yang mengeksport NR-REE sedangkan kerajaan melarang sebarang eksport berkaitan sumber bahan mentah yang bernilai tinggi itu.

Menurutnya NR-REE mampu menjadi potensi pendapatan negara yang amat besar, justeru kerajaan perlu memastikan dasar larangan eksport NR-REE dipatuhi. – Bernama, 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen