Umno tak akan jalin semula dengan parti bermuslihat, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos 2023.

AHMAD Zahid Hamidi berkata Umno tidak berhasrat untuk menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.

Presiden Umno yang juga timbalan perdana menteri itu berkata, kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan kerana penuh dengan muslihat.

“Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita (Umno) harus revisit hubungan itu,” katanya ketika ditanya pemberita untuk mengulas laporan PAS masih terbuka untuk meneruskan agenda penyatuan ummah bersama Umno.

Beliau ditemui media selepas majlis makan malam bersama duta dan wakil dari 29 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di Putrajaya malam tadi.

Dilaporkan semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS masih mengambil sikap sedemikian, memandangkan ummah khususnya orang Melayu masih memerlukan penyatuan.

Reaksi Tuan Ibrahim itu adalah sebagai mengulas kenyataan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman, yang menyatakan keperluan supaya semangat Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali, khususnya membabitkan dua parti itu. – Bernama, 30 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen