Mahkamah tetapkan 8 Okt sumpah laknat terhadap wanita 2 suami


MAHKAMAH Rendah Syariah Tanah Merah hari ini menetapkan 8 Oktober ini sebagai tarikh untuk seorang peniaga membuat sumpah laknat bagi menafikan pernah melafaz cerai ke atas isteri keduanya yang didakwa mempunyai dua suami. 

Hakim Ahmad Hariri Mohd Saad membuat penetapan itu terhadap Rahaman K A Mohamed Jaafar, 47, yang juga defendan bagi kes pengesahan lafaz cerai terhadap plaintif, Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32. 

Mahkamah menetapkan sumpah itu dilakukan selepas mendapati keterangan dikemukakan Wan Nor Shakirin tidak kukuh. 

Wan Nor Shakirin sebelum itu memberitahu mahkamah, Rahaman sudah melafazkan cerai talak tiga ke atasnya namun lelaki berkenaan menafikan perkara tersebut.

Pasangan suami isteri itu mendirikan rumah tangga pada 2 Januari 2019 di Narathiwat, Thailand dan disahkan mengikut hukum syarak oleh mahkamah tersebut pada 6 Jun lalu serta didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

Namun, Rahaman mendapat maklumat daripada pihak pejabat agama di Putrajaya bahawa Wan Nor Shakirin sudah berkahwin lagi dengan seorang lelaki lain iaitu Mohd Kamarulazhar Ayob, 42. 

Susulan itu, pada 5 Julai lalu, Rahaman melalui peguam syarie, Marzuqi Muhamad memfailkan tuntutan faraq (pemisahan atau pembubaran) nikah terhadap perkahwinan antara Wan Nor Shakirin dan Mohd Kamarulazhar di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu. 

Pada 7 Ogos lalu, mahkamah memutuskan perintah faraq nikah sementara terhadap perkahwinan Wan Nor Shakirin dan Mohd Kamarulazhar sehingga kes pengesahan lafaz cerai antara Wan Nor Shakirin serta Rahaman selesai sebelum meneruskan semula kes tuntutan faraq nikah itu. – Bernama, 13 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen