Kerajaan digesa jadikan air sebagai isu keselamatan negara


Ravin Palanisamy

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Charles Santiago berkata sektor air akan menjadi keutamaan tertinggi dalam perancangan kerajaan dan peruntukan sumber.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2023.

PUTRAJAYA perlu melihat akses kepada air daripada sudut keselamatan negara, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan perubahan iklim, kata Charles Santiago.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu berkata keputusan untuk menjadikan air sebahagian daripada kebimbangan keselamatan negara adalah kerana masa semakin suntuk dalam menghadapi keadaan cuaca yang melampau.

Jika diberi kepentingan sedemikian, Santiago berpandangan sektor air akan menjadi keutamaan tertinggi dalam perancangan kerajaan dan peruntukan sumber.

“Bajet 2024 memperuntukkan RM 1.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur bagi tiga negeri Sabah, Labuan dan Kelantan.

“Bagaimanapun, pembinaan 5 kapal LCS tentera laut menelan belanja RM 11.9 bilion walaupun kita tidak berperang.

“Jika sektor air mendapat RM 11.9 bilion, keuntungan besar - untuk mengurangkan air tidak terhasil (NRW), mendorong ke arah air tebus guna, pembersihan sungai, dan membangunkan infrastruktur air lain - boleh dicapai,” kata bekas ahli Parlimen Klang.

Santiago berkata, ketersediaan air yang mencukupi boleh menjadi tarikan utama bagi perniagaan baharu seperti Pusat Data dan lain-lain.

Beliau berkata syarikat sedia ada meninggalkan negara kerana sumber air yang tidak mencukupi.

“Dengan menjadikan air sebagai keutamaan keselamatan negara, kita melindungi negara daripada ketidaktentuan perubahan iklim,” katanya.

Santiago berkata bahawa firma swasta juga mempunyai peranan penting dalam mengutamakan air. Beliau berkata kajian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Alliance Bank menunjukkan bahawa air menduduki tempat kedua selepas terakhir dalam kebimbangan korporat.

“Syarikat juga mesti memberi tumpuan kepada pemuliharaan air dan meningkatkan keutamaan air dalam strategi ESG.

“Penuaian air hujan, air tebus guna dan jentera air yang cekap, tiada penggunaan plastik semuanya dapat membantu memastikan air digunakan dengan cekap. Kita perlu menjimatkan air dengan cara yang sama kita menjimatkan tenaga,” katanya. – 3 November, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen