Santiago gesa guna pakai rangka kerja ESG untuk pengurusan air lestari


Ravin Palanisamy

Pengerusi Charles Santiago menggesa semua pihak dalam industri perkhidmatan air memberi tumpuan kepada rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk membawa industri air di Malaysia ke tahap lebih tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2023.

CHARLES Santiago menggesa semua pihak dalam industri perkhidmatan air memberi tumpuan kepada rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk membawa industri air di Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu berkata rangka kerja ESG boleh digunakan untuk kelestarian pengurusan air.

“Dengan menyerapkan amalan ESG, saya percaya kita boleh mengurus dan menyesuaikan diri dengan lebih baik kepada cabaran pengurusan air di samping memacu pertumbuhan mampan dan impak positif masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan forum bertajuk ‘Rising To The Water Regulatory Challenge and Future Changes’ di Putrajaya semalam.

Santiago berkata SPAN komited untuk melaksanakan ikrar iklim dan sudah pun memulakan pelbagai inisatif untuk menerima pakai amalan ESG.

Ini katanya, termasuk pendigitalan lesen dan permit, mewujudkan sistem aduan dalam talian; meminimumkan penggunaan air dengan pemasangan paip yang lebih efisien di tandas-tandas pejabat, pantri dan surau; serta melaksanakan rangka kerja integriti di tempat kerja melalui Sistem Pengurusan Antirasuah.

Tambah beliau, pensijilan sistem pengurusan antirasuah adalah bukti SPAN komited untuk meningkatkan integriti dan etika tertinggi dalam operasi harian suruhanjaya itu. 

Santiago yang juga ahli Parlimen Klang berkata SPAN juga telah menubuhkan unit ESG di bawah Jabatan Strategik bagi mewujudkan kesedaran, membina kapasiti dan membangun rangka kerja untuk industri air.

Selain itu, SPAN juga merancang untuk menyusun laporan kemampanan tahunan berdasarkan Piawaian Inisiatif Pelaporan Global (GRI). – 27 September, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen