Santiago bidas kenyataan ahli Parlimen PAS berhubung pakaian jururawat


Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor mendakwa pakaian seragam jururawat terlalu ketat dan tidak patuh syariah. – Gambar Facebook, 15 Jun 2023.

BEKAS ahli parlimen Klang Charles Santiago membidas kenyataan seorang ahli Parlimen PAS yang mahu perubahan dibuat pada kod pemakaian jururawat apabila mendakwa pakaian seragam itu terlalu ketat dan tidak patuh syariah.

Memberikan maklum balas kepada kenyataan itu, Santiago berkata Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor bersikap seksis.

“Kita perlu bercakap tentang penjagaan kesihatan yang berpatutan dan boleh diakses untuk semua orang. Dan saya fikir saya melihat semuanya.

“Beraninya awak bercakap tentang pakaian jururawat wanita ini? Beraninya anda menghina mereka? Adakah anda faham betapa seksisnya kenyataan ini?

“Pakaian seragam itu adalah identiti bersama di mana setiap jururawat lain memakai pakaian seragam yang sama dan berkongsi tanggungjawab dan kewajipan profesion itu,” katanya menerusi Twitter.

Awal hari ini di Dewan Rakyat semasa membahaskan Kertas Putih Kesihatan, Wan Razali berkata pakaian seragam jururawat “menunjukkan bentuk badan mereka”.

“Saya ingin bertanya, adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelongaran?,” soalnya di Dewan Rakyat pada hari ini.

Wan Razali berkata Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan, dan Pusat Perubatan Sultan Azlan Shah di Kuantan, Pahang menyediakan pilihan etika berpakaian kepada jururawat.

Santiago yang merupakan pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara berkata beliau buntu dengan tahap wacana di Parlimen.

“Ia cenderung ke arah mempersendakan dan memperkecilkan wanita sebagai satu cara untuk mendapatkan ‘political mileage’.

“Saya bersolidariti dengan jururawat kita dan saya sangat kesal kerana anda terpaksa bersikap seksis seperti itu,” katanya.

Santiago berkata Wan Razali mesti memohon maaf secara terbuka dengan segera kepada semua jururawat berhubung kenyataan itu.

“Sungguh menjijikkan apabila dia terlupa jururawat ini mempertaruhkan nyawa mereka semasa pandemik Covid-19,” katanya. – 15 Jun 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen