Kerajaan digesa tubuh pasukan pantau peruntukan kaum India


Ravin Palanisamy

Beberapa pihak melahirkan rasa kecewa dengan mendakwa Belanjawan 2024 meminggirkan masyarakat India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2023.

PUTRAJAYA disarankan supaya mewujudkan pasukan petugas khas bagi memastikan peruntukan untuk kaum India yang digariskan dalam Belanjawan 2024 disalurkan dengan telus dan benar-benar sampai kepada kumpulan yang disasarkan. 

Bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata langkah ini penting bagi menilai hasil yang akan diterima masyarakat.

“Mesti wujudkan pasukan petugas yang diketuai kumpulan bebas untuk memastikan dana disalur kepada kumpulan sasar dan seterusnya menjamin masa depan masyarakat India,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kita sudah sering bercakap tentang transformasi (untuk masyarakat) tetapi kita harus tahu bagaimana dana tersebut akan digunakan untuk menyelesaikan isu yang rakyat hadapi.

“Kita juga perlu melihat adakah penerima mendapat manfaat daripada dana yang diperuntukkan. Ini yang perlu dinilai oleh pasukan petugas,” jelas bekas ahli Parlimen DAP itu.

Santiago berkata demikian susulan beberapa pihak mendakwa peruntukan bagi masyarakat India dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan pada 13 Oktober lalu tidak mencukupi, tidak seperti belanjawan sebelum ini.

Bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata peruntukan untuk kaum India yang digariskan dalam Belanjawan 2024 perlu dipastikan benar-benar sampai kepada kumpulan yang disasarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2023.

Kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion untuk Belanjawan 2024, yang tertinggi yang pernah dibentangkan, dengan hanya RM130 juta diperuntukkan khusus bagi masyarakat India.

Daripada RM130 juta itu, RM100 juta diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) selain RM30 juta disediakan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional untuk Skim Pembiayaan Usahawan Mikro India.

Mengulas perkara ini, Santiago bersetuju bahawa peruntukan ini tidak banyak beza dengan peruntukan dalam belanjawan sebelum ini.

“Selama ini itulah jumlah yang diperuntukkan – RM100 juta untuk Mitra dan RM30 juta bagi Tekun,” kata pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu.

Beberapa pihak melahirkan rasa kecewa dengan mendakwa Belanjawan 2024 yang dibentangkan Anwar meminggirkan masyarakat India.

Antara yang mengkritik kerajaan adalah bekas pemimpin DAP P Ramasamy, berkata belanjawan itu tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan belanjawan semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Katanya tidak banyak yang ditawarkan dalam Belanjawan 2024 untuk menaikkan taraf sosioekonomi kaum India yang majoritinya merupakan kelas pekerja. – 28 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen