Muda kumpul lebih RM1.1 juta untuk PRN pada Ogos, kata Syed Saddiq


Ravin Palanisamy

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda mengumpul lebih RM1.1 juta dana untuk kegunaan mereka dalam PRN di enam negeri yang diadakan pada Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2023.

MUDA mengumpul lebih RM1.1 juta dana untuk kegunaan mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang diadakan pada Ogos, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden parti itu berkata jumlah kutipan adalah 75.2 peratus daripada sasaran mereka yang ditetapkan untuk PRN iaitu RM1.5 juta.

“Jumlah ini berjaya dikutip dalam tempoh kurang sebulan menerusi pelbagai program dan inisiatif.

“Lebih 95% dana diperoleh parti manakala selebihnya oleh calon.

“Sebanyak RM858,252.02 atau 76.1% daripada dana yang dikumpul digunakan untuk pilihan raya negeri bagi kesemua 19 calon kami,” kata Syed Saddiq pada sidang media hari ini.

Syed Saddiq berkata parti itu membelanjakan purata RM45,000 bagi setiap satu daripada 19 kerusi itu iaitu yang paling rendah berbanding parti lain.

“Ini kerana Muda sentiasa bergantung kepada orang ramai untuk dana dan kami mahu menggunakannya dengan bijak dan bukannya bermewah-mewah,” kata ahli Parlimen Muar itu.

Baki dana yang dikumpul akan digunakan untuk pilihan raya akan datang, tambahnya.

Muda bertanding 19 kerusi di lebih empat negeri - 14 di Selangor, Pulau Pinang (3), Negeri Sembilan dan Terengganu (masing-masing satu).

Bagaimanapun semua calonnya kalah dengan kesemua mereka hilang wang deposit.

Sementara itu bercakap mengenai laporan audit dalaman parti dalam misi Maribantu Banjir, kempen mengumpul dana yang dilakukan untuk banjir besar yang berlaku pada Disember 2021, Syed Saddiq berkata Muda berjaya mengutip RM2.1 juta daripada sejumlah 45,000 penyumbang.

“Walaupun berdepan cabaran dalam proses audit banjir, ini tetap menjadi keutamaan saya dan juga parti bagi memastikan ketelusan.

“Muda menggunakan perkhidmatan firma audit terkemuka di negara ini.

“Kutipan untuk projek itu bermula pada pertengahan Disember 2021 dan proses audit bermula pada September 2022.

“Kenapa hanya pada bulan September kita mula? Kerana projek Maribantu yang terakhir hanya selesai menjelang akhir Ogos tahun lalu.

“Oleh itu audit hanya boleh dilakukan apabila semua projek siap,” kata bekas menteri belia dan sukan itu sambil menambah penjelasan itu sepatutnya menghilangkan beberapa persoalan yang dibangkitkan.

Antara lain kejayaan Misi Banjir Maribantu ialah bantuan kepada 10 negeri yang dilanda banjir, sumbangan 100 unit komputer riba, pembinaan rumah di Hulu Langat di bawah Projek Teduh dan bantuan kewangan kepada 300 keluarga.

Syed Saddiq juga berkata tiada dana daripada misi Banjir Maribantu digunakan untuk tujuan parti atau pilihan raya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sementara itu mengenai pemilihan parti Syed Saddiq berkata beliau ingin mengadakan pengundian lebih awal tetapi mendakwa beliau terikat dengan perlembagaan parti.

“Walaupun saya ingin mengadakan pemilihan parti lebih awal, kita masih perlu mengikut perlembagaan.

“Walaupun kita mahu memilikinya lebih awal, ada perkara tertentu yang perlu dilakukan seperti mendapat kelulusan jawatankuasa eksekutif pusat parti, kemudian mungkin ada Mesyuarat Agung Tergempar… jadi ada langkah yang perlu diikuti.

“Jadi idealnya kita perlu mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Pada Ogos tahun ini Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi berkata parti itu akan mengadakan pemilihan dalaman menjelang Disember 2024.

Amir berkata adalah menjadi amalan biasa bagi parti politik untuk tidak mengadakan pemilihan sulung mereka sejurus selepas tahun pertama kewujudan. – 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen