Peruntukan: Tanya ketua pembangkang kenapa belum beri cadangan, kata Fahmi


Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) menempelak Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2023.

PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya mempersoalkan isu berkaitan agihan peruntukan bagi ahli Parlimen pembangkang kepada ketua pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Menempelak tuduhan Ahli Parlimen Muar itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan pembangkang perlu mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen mereka.

“Pada 8 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sudah sebut pihak pembangkang kena bagi cadangan kalau nak dapat peruntukan ahli Parlimen, jadi prosesnya dah ada…selesaikanlah rundingan.

“Tapi masalahnya sekarang, sampai hari ini pembangkang masih belum lagi beri cadangan…jadi kepada Yang Berhormat Syed Saddiq dan lain-lain, kalau nak tahu kenapa Ahli Parlimen Pembangkang masih belum dapat peruntukan, tanyalah Ketua Pembangkang (Hamzah Zainudin),” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Muar itu menggelar kerajaan perpaduan sebagai ‘Kerajaan NATO‘ (no action, talk only), atau kerajaan cakap sahaja namun tiada tindakan dengan menuduh kerajaan gagal melaksanakan  beberapa pembaharuan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Tiga perkara dibangkitkan Syed Saddiq membabitkan soal peruntukan kepada pembangkang, pengisytiharan harta anggota Kabinet dan pengguguran kes rasuah.

Dalam soal pengisytiharan harta, Fahmi berkata sejak Januari lagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu sedang dalam tindakan bersama oleh semua agensi, malah Anwar sendiri sudah mengisytiharkan harta pada Oktober 2022 dengan aset bernilai lebih RM11 juta.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh perdana menteri berkaitan pengisytiharan harta pada Januari lepas adalah merujuk kepada proses itu yang sedang berjalan untuk rangka semula proses pengisytiharan harta…untuk maklumat lanjut nanti (Syed Saddiq) boleh masukkan soalan dalam MQT (waktu pertanyaan menteri) sidang penuh Parlimen,” katanya.

Berhubung pengguguran kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Fahmi berkata kerajaan tidak pernah terlibat dalam sebarang keputusan perundangan yang dibuat oleh Peguam Negara.

“Dalam sebarang DAA (dilepaskan dan dibebaskan) ke, DNAA (melepas tanpa membebaskan) ke, sama ada kes Zahid atau kes Muhyiddin (Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin) dan lain-lain ke, kerajaan tidak pernah terlibat.

“Peguam Negara sudah jelaskan, Azalina Othman (Said Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) juga sudah jelaskan, budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Membidas tuduhan Syed Saddiq berhubung kenyataan Anwar mengenai komitmen tidak akan menggugurkan mana-mana kes rasuah di mahkamah dalam ucapan dasar ketika Kongres Nasional PKR ke-16 lalu, Fahmi menjelaskan tuduhan Presiden MUDA  itu dibuat berdasarkan konteks yang tidak menyeluruh.

Fahmi menjelaskan kenyataan Anwar adalah dalam konteks usaha Pengerusi PH itu pada 2020 dan bukannya selepas pembentukan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15. – Bernama, 19 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen