Pelaksanaan subsidi bersasar perlu mekanisme telus dan cekap, kata Ismail Sabri


Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata pelaksanaan subsidi bersasar memerlukan mekanisme telus dan cekap untuk memastikan tiada siapa akan tercicir dan terkesan daripada keputusan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2023.

PELAKSANAAN subsidi bersasar memerlukan mekanisme telus dan cekap untuk memastikan tiada siapa akan tercicir dan terkesan daripada keputusan tersebut, kata Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar ini penting untuk diperhalusi kerana subsidi “melekat” dalam ekonomi sebagai komponen struktural.

“Subsidi kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sektor dan segmen tertentu sahaja malah merentas keseluruhan sektor dan pasaran termasuklah pasaran buruh.

“Justeru saya ingin bertanya apakah mekanisme yang akan digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar pada tahun hadapan kerana ia tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sebagai pengkalan data yang akan digunakan Januari tahun depan untuk memastikan subsidi ini diberikan kepada golongan yang layak sahaja.

Beliau berkata pelaksanaan subsidi bersasar tanpa mekanisme yang tepat akan menyebabkan rakyat terus terbeban terutama dalam persekitaran kos sara hidup semakin meningkat sekarang.

Mengenai harga ayam Ismail Sabri berkata dua hari lepas media tempatan melaporkan harga ayam mencecah RM11 sekilogram walaupun harga ayam belum diapungkan.

“Apa akan jadi pada tahun depan jika harga ayam diapungkan? Ia pasti akan menjadi lebih tidak terkawal kerana sebanyak 70 peratus daripada kos keseluruhan pengeluaran adalah makanan yang diimport dari luar negara selain logistik, buruh, utiliti dan ubat-ubatan. Kos makanan ayam dijangka terus meningkat disebabkan kejatuhan ringgit,” katanya. – Bernama, 24 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen