Bicara kes komunikasi jelik Lokman Adam bermula 9 Oktober


Pada 1 September tahun lepas, Lokman Noor Adam mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang didakwa dilakukan melalui Facebook atas nama profil 'Lokman Noor Adam Official' dengan niat menyakitkan hati orang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2023.

KES Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang didakwa atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan akan diteruskan dengan perbicaraan bermula 9 Oktober ini di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh memaklumkan kepada mahkamah yang pihaknya mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya kes itu diteruskan dengan perbicaraan.

“Pihak pengurusan tertinggi AGC mengarahkan kes ini diteruskan dengan perbicaraan dan kami mohon tarikh perbicaraan pada Oktober dikekalkan,” katanya yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini hari ini.

Selain 9 Oktober, mahkamah turut menetapkan 10, 11, 23 dan 24 Oktober serta 21, 22, 27, 28 dan 29 November ini untuk perbicaraan.

Lokman yang hadir ke mahkamah hari ini diwakili peguam Logen Eskander.

Pada 29 Mei lepas, Kalmizah memberitahu mahkamah bahawa representasi yang dikemukakan Lokman masih dalam penelitian AGC.

Pada 1 September tahun lepas, Lokman, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil “Lokman Noor Adam Official” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mengikut pertuduhan pertama membabitkan bekas perdana menteri itu, Lokman didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 11.16 malam, 20 Ogos 2022 yang kemudiannya hantaran itu dibaca pada 8.15 pagi,  24 Ogos tahun sama di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua pula, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pada pukul 10.28 malam, 22 Ogos tahun sama dan pautan itu kemudian dibaca pukul 11.30 pagi pada 23 Ogos di sebuah restoran di Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan. – Bernama, 11 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen