PRK Pelangai: Ahli parti perlu beri sokongan kepada calon BN, kata Ismail Sabri


Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu yang dipilih bertanding di PRK DUN Pelangai adalah mewakili parti dan kekalahannya akan memberi kesan kepada parti secara keseluruhan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2023.

AHLI Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu memberikan sokongan penuh kepada calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Amizar Abu Adam.

Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu yang dipilih adalah mewakili parti dan kekalahannya akan memberi kesan kepada parti secara keseluruhan.  

“Kalau kita Umno dan BN, kita mesti anggap calon itu bertanding mewakili kita kerana dia bertanding atas parti kita, bukan bertanding sendiri maka kita sebagai ahli parti mesti sokong calon yang mewakili parti.

“Tidak kisah siapa sahaja yang dicalonkan, kalau dia (calon) itu kalah bermakna keseluruhan parti itu kalah dan imej parti juga akan tercemar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan bekas ahli Pemuda Umno Bahagian Bentong Haslihelmy DM Zulhasli yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Pelangai sebagai tanda protes terhadap keputusan BN mengetengahkan Amizar sebagai calon.

PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy yang menggunakan simbol kereta.

Dalam pada itu Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata Umno perlu membuat pascanilai dan perbincangan bagi mengenal pasti cara untuk menarik semula pengundi Melayu susulan prestasi parti itu pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri 12 Ogos lepas. – Bernama, 25 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen