Ismail Sabri cadang perkenal semula GST


AHLI Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula kerana sistem cukai tersebut terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau yang juga merupakan bekas perdana menteri berkata ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat “black economy” (aktiviti ekonomi yang tidak direkod dan tidak membayar cukai kepada kerajaan) kerana mereka yang tidak membayar cukai tidak dapat dipantau. 

Mengenai cadangan kerajaan untuk menaikkan SST kepada 8.0% daripada 6.0%, beliau berkata, meskipun kenaikan itu tidak melibatkan makanan dan minuman namun ia akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang akan turut mendorong kenaikan kepada barang-barang asas. 

“Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka,” kata Ismail Sabri ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Malaysia melaksanakan SST, sistem cukai satu peringkat sejak 1972, tetapi pada April 2015, ia digantikan oleh GST, iaitu cukai penggunaan pelbagai peringkat, pada kadar 6%.

Kerajaan melaksanakan semula SST berkuatkuasa 1 September, 2018, bagi menggantikan GST.

Menurut  laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini, Kementerian Kewangan berkata  pemilihan antara SST dengan GST bergantung kepada objektif ekonomi negara, keupayaan pentadbiran dan keperluan untuk mencapai keseimbangan optimum antara menjana pendapatan dengan menggalakkan keadilan dan kesaksamaan kepada rakyat. 

Menurut kementerian itu, pelaksanaan SST bercirikan skop yang lebih kecil merupakan strategi berhemat dalam cukai penggunaan kerana hanya dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan tertentu.

GST berpotensi menjana hasil lebih banyak dengan asas cukai yang lebih luas dan lebih telus kepada pengguna kerana cukai ditunjukkan dengan jelas dalam harga barangan dan perkhidmatan akhir, di samping mengurangkan saiz ekonomi bayangan, katanya. – Bernama, 24 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen