Pejuang tidak bertanding dalam PRK Kemaman, kata Mukhriz


Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menafikan khabar angin kononnya bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan bertanding sebagai calon pada PRK Parlimen Kemaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2023.

PEJUANG hari ini mengesahkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir turut menafikan khabar angin kononnya bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan bertanding sebagai calon pada PRK Parlimen Kemaman.

“Kita tidak letak calon. Kami kini fokus untuk memperkukuh parti. Kita hendak bina kekuatan bagi menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu Mukhriz berkata Pejuang akan menganjurkan perarakan dari Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak ke Kedutaan Amerika Syarikat pada 2 petang, Jumaat ini sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan Palestin dan tindakan biadab Isreal di Gaza. – Bernama, 18 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen