Polis kata uzur, Hadi jumpa Dr Mahathir


Presiden PAS Abdul Hadi Awang melawat Dr Mahathir Mohamad di hospital semalam walaupun beliau mendakwa dirinya uzur sehingga tidak dapat memberi kerjasama kepada siasatan polis. – Gambar Facebook, 3 September, 2023.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang tetap dapat bertemu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam walau mendakwa uzur sehingga tidak dapat ditemui polis untuk siasatan.

Pertemuan Hadi dengan Dr Mahathir itu disahkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut menyertainya bersama rakan sejawatnya dari Kedah, Kelantan dan Perlis.

Samsuri berkata, beliau serta para menteri besar lain antara lain menerima nasihat dari kedua-dua pemimpin senior tersebut dalam perjumpaan itu.

“Nasihat-nasihat dari Tun Dr Mahathir dan Tuan Guru Ayah Chik (Abdul Hadi)sebagai negarawan akan kami tekuni dan laksanakan dengan segera,” katanya di pelantar media sosial.

Beberapa keping gambar turut disiarkan di media sosial menunjukkan Hadi duduk di samping Dr Mahathir dalam perjumpaan berkenaan.

Ia turut menunjukkan kehadiran para menteri besar Sanusi Md Nor (Kedah), Mohd Nassuruddin Daud (Kelantan) dan Mohd Shukri Ramli (Perlis).

Gambar berkenaan turut menunjukkan kehadiran Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, bekas pemimpin Bersatu Khairuddin Abu Hassan berkata pertemuan Abdul Hadi bersama para menteri besar PAS dengan Dr Mahathir berlangsung jam 5.30 petang.

“Perjumpaan selama sejam setengah itu berjalan dalam suasana yang amat mesra disusuli dengan hidangan minum petang ...” kata pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu itu.

Pertemuan itu berlangsung ketika polis menjangka kehadiran Abdul Hadi ke Bukit Aman pada jam 4.30 petang untuk siasatan atas kenyataannya yang mempersoal kuasa Lembaga Pengampunan.

Laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain menyebut, pertemuan itu ditangguhkan kerana Abdul Hadi memberi alasan masalah kesihatan.

“Pegawai perakam dimaklumkan oleh wakil beliau (Abdul Hadi) masih uzur dan meminta proses berkenaan ditangguhkan,” kata Razarudin seperti dipetik.

Razarudin berkata siasatan Hadi sepatutnya hadir untuk siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas.

Mengulas perkembangan itu, seorang pemimpin PKR berkata tindakan Hadi itu menunjukkan presiden PAS  hanya cuba memperbodohkan polis dan mengelak dari siasatan.

Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Razeef Rakimin juga berharap polis tidak tertipu dengan taktik lapuk seperti itu.

“Pada petang (semalam) hari yang sama Hadi Awang bersama tiga menteri besar dari PAS serta setiausaha agung PAS melakukan kunjungan ke kediaman Mahathir.

“Adakah Hadi menipu pihak polis bagi mengelak dari disiasat? Tindakan Hadi jelas dilihat seolah-olah cubaan memperbodohkan pihak berkuasa.

“Sampai bila Abdul Hadi boleh terus menipu untuk mengelak dari disiasat pihak polis. Saya berharap pihak polis tidak lagi tertipu dengan taktik lapuk Hadi bagi mengelak disiasat…” katanya.

Polis menyiasat Hadi mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia ekoran ucapannya dalam kempen pilihan raya kecil Simpang Jeram di Muar.

Dalam ceramah itu, Hadi didakwa menyebut pengampunan seseorang pesalah yang diamalkan negara ini tidak sesuai ajaran Islam.

Satu lagi kenyataan Hadi yang disiarkan lidah partinya Harakahdaily pada Jumaat turut menyentuh perkara sama.

Dalam kenyataan yang disertakan ayat al-Quran itu, Hadi berkata hanya keluarga mangsa berhak memberi pengampunan.

Kenyataannya yang mempersoal kuasa Lembaga Pengampunan itu antara lain berkait secara langsung dengan kedudukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Serangan serupa dilancarkan ayam sabung PAS Sanusi Md Nor yang memohon mahkamah memeriksa persoalan undang-undang ke atas pengampunan diraja diperolehi Anwar.

Menteri besar Kedah itu mengemukakan perkara itu ekoran disaman kerana menyebut kenyataan fitnah mengaitkan Anwar dengan perlakuan tidak bermoral.

Anwar layak bertanding pilihan raya dan dilantik menjadi perdana menteri kesepuluh selepas memperolehi pengampunan tanpa syarat pada 2018. – 3 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen