'Doa biadab': Shamsul Iskandar, PMO nafi ada kaitan dengan Zaki


Shamsul berkata perkara sensitif tidak sepatutnya dipolitikkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2023.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mat Akin menggesa portal MalaysiaNow menarik balik artikel yang mengaitkannya dengan ‘doa’ kematian Abdul Hadi Awang dan Dr Mahathir Mohamad di Twitter.

Shamsul berkata meskipun Ahmad Zaki Yamani pernah berkhidmat sebagai Setiausaha AMK PKR ketika beliau memimpin sayap pemuda PKR itu, ia tidak membawa sebarang perkaitan dengan keadaan semasa.

“Saya menggesa MalaysiaNow tarik balik artikel yang mengaitkan saya mahupun institusi pejabat perdana menteri (PMO) secara keseluruhannya.

“Meskipun beliau pernah berkhidmat selaku Setiausaha Angkatan Muda Keadilan sewaktu saya memimpin AMK pada tahun 2007, itu tidak membawa sebarang perkaitan atau makna pada masa kini dalam mana-mana kapasiti rasmi.

“Alhamdulillah, komunikasi terjalin baik di samping kami turut diberi perkembangan terkini tentang kesihatan Tan Sri.

“Mewakili YAB Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri, kami mendoakan keafiatan Tan Sri dan berharap agar ruang ziarah dapat diadakan seusai beliau kembali stabil kelak,” katanya.

Sebelum ini, Anwar juga mendesak Zaki memohon maaf segera atas komen biadap dibuatnya terhadap Hadi dan Dr Mahathir.

Dalam ciapannya, Anwar turut melahirkan kekesalan atas tindakan individu tersebut.

“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yakamni dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera.

Semalam, pengguna Twitter @Zaki_Yamani_ memuat naik ciapan mendoakan kematian Hadi dan Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata beliau turut senada dengan Anwar yang menuntut Zaki memohon maaf

Katanya, perkara sensitif tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Zaki perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya,” tambahnya.

Semalam, anak Hadi Khalil dalam hantaran di Facebook memaklumkan keadaan kesiahtan ayahnya itu dan meminta orang ramai mendoakan kesihatan Ahli Parlimen Marang itu. – 2 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen