Dr Mahathir nafi gunakan Proklamasi Orang Melayu untuk jadi PM


Ravin Palanisamy

Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak berhasrat untuk bertanding lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2023.

DR Mahathir Mohamad hari ini menolak dakwaan beliau mengasaskan gerakan Proklamasi Orang Melayu semata-mata untuk menjadi perdana menteri semula.

Bekas perdana menteri yang pernah memegang jawatan dua kali itu berkata beliau tidak berhasrat untuk bertanding lagi.

“Saya tidak memperjuangkan orang Melayu untuk menjadi perdana menteri lagi. Saya tidak berminat untuk bertanding lagi tetapi saya harap ada orang lain yang akan bertanding dan (berjuang) untuk orang Melayu yang cintakan negara,” katanya hari ini dalam sidang media di Sepang.

Proklamasi Melayu diasaskan dengan tujuan “menyatukan masyarakat”. Dokumen itu menyenaraikan 12 masalah utama yang dikatakan dihadapi oleh orang Melayu.

Dr Mahathir, yang bertanding di kerusi Parlimen Langkawi tahun lalu, mengalami kekalahan memalukan kepada Mohd Suhaimi Abdullah daripada Perikatan Nasional. 

Malah Dr Mahathir tidak berjaya memperoleh undi mencukupi untuk mendapatkan kembali depositnya.

Ia adalah kekalahan pilihan raya pertama beliau sejak 1969.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir juga menolak bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Tetapi saya akan sangat aktif, menyokong pergerakan orang Melayu ini, yang ingin memiliki bahagian negara ini.

“Objektif saya bukan untuk menjadi perdana menteri,” katanya sekali lagi, apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Enam negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu - dijangka mengadakan pilihan raya serentak.

Semua negeri, kecuali Negeri Sembilan sudah  membubarkan DUN masing-masing.

Pembubaran Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Julai.

Dr Mahathir mengadakan sidang media selepas pulang dari lawatan selama 13 hari ke Eropah dan Turkiye. – 28 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen