Keluar mengundi, selamatkan Tanah Melayu, kata Dr Mahathir


Beliau turut mengulangi kenyatannya sebelum ini dengan mendakwa ada pihak cuba mengikis identiti Melayu dari negara ini dan mahu menjadikannya negara berbilang kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2023.

PENGUNDI Melayu diseru keluar mengundi beramai-ramai pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos depan bagi menyelamatkan Tanah Melayu ini, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, melalui pengundian rakyat akan menentukan kerajaan yang akan dipilih nanti kerana kerajaan hari ini gagal menjadi pentadbir yang baik walaupun dipimpin oleh orang Melayu.

“Saya harap semua akan keluar mengundi, dapat menentukan supaya pihak yang baik, betul, akan menang dan kakistokrasi akan dikalahkan dalam PRN.

“Kita lihat kadang-kadang orang Melayu tak keluar mengundi. Ada orang Melayu tak keluar konon kerana bosan dengan politik tetapi kalau kita tak keluar (sama) seperti kita mengundi kepada orang yang tidak layak mendapat kemenangan dan mendirikan kerajaan.

“Saya harap bukan sahaja di Kelantan tetapi semua enam negeri ini, orang Melayu keluar beramai-ramai mengundi untuk kebaikan dan kejayaan kita supaya negara kita kekal sebagai Tanah Melayu,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokong PAS dalam majlis Munajat Rakyat Kelantan PPakat Pertahan dan Amanat Pemimpin, di Stadium Sultan Muhammad IV.

Turut hadir Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dalam ucapan sulung Dr Mahathir bersama PN itu, beliau berkata penyertaannya adalah demi penyatuan orang Melayu demi mempertahankan negara ini daripada cubaan menjadikannya negara berbilang kaum.

“Gerakan ini gerakan orang Melayu ingin bersatu kerana dengan bersatu memberi kekuatan kepada kita. Pada suatu masa dulu kita lebih lemah daripada sekarang, kita lawan British kita gagalkan British, cadangan Malayan Union digugurkan kerana perpaduan dikalangan orang Melayu.

“Tetapi apabila kemudian kita berpecah kita jadi lemah, ada orang bercadang rampas negara kita, lihat malam ini dan seterusnya kita sudah bersatu semula dan perpaduan ini memberi kekuatan kepada kita. Insha-Allah kita akan berjaya dalam PRN nanti,” katanya.

Beliau turut mengulangi kenyatannya sebelum ini dengan mendakwa ada pihak cuba mengikis identiti Melayu dari negara ini dan mahu menjadikannya negara berbilang kaum.

“Ya, kita akui negara kita mempunyai banyak kaum tapi jangan sampai mendakwa negara kita bukan Tanah Melayu tetapi dimiliki sesiapa sahaja yang berada di negara ini.

“Ini tidak benar sama sekali sebab itu saya menentang usaha mendakwa kononnya negara kita negara berbilang kaum. Ya, ada banyak kaum tapi pemiliknya ialah orang Melayu. Kita yang menjadi tuan rumah di dalam negara kita, janganlah ada sesiapa mendakwa ia bukan lagi tanah air kita.

“Ini negara kita. Tiada siapa boleh ambil negara kita,” kata Dr Mahathir.

Melalui pilihan raya katanya, ia akan menentukan kerajaan yang memerintah sekaligus membolehkan status Tanah Melayu itu dapat dipertahankan.

“Kita bukan orang ganas suka bunuh, mengadakan keganasan, kita nak undang-undang dijunjung tinggi.

“Undang-undang beri hak menentukan siapa menjadi kerajaan negara kita dan kita akan guna undang-undang bukan nak cabul atau rampas hak sesiapa. Bangsa lain boleh duduk dan berniaga jadi kaya di Malaysia tapi janganlah sampai nak kata negara ini milik mereka.

“Negara kita milik orang Melayu yang dengan sukarela membenar mereka masuk dalam negara kita,” katanya.

Dr Mahathir turut berkata, Sabah dan Sarawak juga perlu mempunyai agenda untuk mempertahankan kedudukan pribumi yang merupakan pemilik asal dua negeri tersebut.

“Memang (buat masa) ini terhad kepada Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak negeri itu dimiliki asalnya bumiputera di sana.

“Segala suku kaum di sana pemilik negeri Sabah dan Sarawak dan mereka juga perlu pertahan kedudukan mereka sebagai tuan punya negeri Sabah dan Sarawak.

“Di sini kita tumpukan kepada semenanjung. Dalam PRN ini terhad kepada enam negeri saya yakin kemenangan akan dicapai di Terengganu Kelantan dan Kedah. Mungkin kita menang di Selangor negeri sembilan dan Pulau Pinang,” tambahnya lagi. – 22 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen