Keputusan mahkamah tegakkan kebenaran, kata pengerusi eksekutif NFCorp


Mohamad Salleh Ismail syukur dakwaan yang dihadapi oleh beliau dan keluarganya selama lebih 12 tahun akhirnya dibuktikan sebagai tidak benar. – Gambar Bernama, 14 Oktober, 2023.

PENGERUSI Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Mohamad Salleh Ismail meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT selepas dakwaan yang dihadapi oleh beliau dan keluarganya selama lebih 12 tahun akhirnya dibuktikan sebagai tidak benar.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, adalah jelas dan tanpa ragu-ragu membebaskan beliau dan tiga anaknya, iaitu  Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, daripada tuduhan yang dilontar kepada mereka sejak perbicaraan NFC bermula pada 2012.

“Dalam penghakiman yang jelas, Hakim Anand Ponnudurai yang mendasari keputusan beliau atas fakta yang dibentangkan di mahkamah, menegaskan tidak ada penyelewengan atau sebarang salah laku oleh kami, dan kesemua transaksi termasuk pelaburan hartanah, dilakukan menurut prosedur.

“Walaupun saya sebelum ini ‘disabitkan’ oleh pendapat masyarakat umum, saya bersyukur kerana pada hari Jumaat (semalam), penghulu semua hari, sistem perundangan negara  menegakkan kebenaran dan membebaskan saya dan keluarga saya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Salleh yang merupakan suami kepada bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil, berkata sepanjang tempoh itu, isterinya turut menjadi mangsa fitnah dan penindasan politik. 

“Apabila beliau secara sukarela meletak jawatan dalam Kabinet disebabkan oleh dakwaan itu, saya juga berasa sangat sedih, namun kami berserah kepada kehendak Allah,” tambahnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan NFCorp membayar balik kepada kerajaan sejumlah RM33,743,591.37, iaitu bahagian pinjaman yang tidak digunakan berhubung Projek Pusat Fidlot Kebangsan di Gemas, Negeri Sembilan.

Kerajaan selaku plaintif, memfailkan saman terhadap NFCorp dan 10 lagi termasuk Salleh dan tiga anaknya, serta enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Salleh, memohon defendan membayar balik RM253.6 juta yang dipinjamkan untuk projek tersebut.

Plaintif berkata pinjaman itu dikeluarkan dalam tiga tranche, dan keluarga Salleh didakwa membuat 10 pengeluaran dengan jumlah keseluruhan RM180.51 juta, dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.  

Anand dalam penghakimannya, memutuskan tidak ada bukti pinjaman itu disalah guna oleh defendan selain mendapati plaintif gagal membuktikan sebarang bentuk ketidakjujuran defendan.

Beliau juga membenarkan tuntutan balas defendan dan memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 sebagai ganti rugi nominal kepada defendan. – Bernama, 14 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen