Mahkamah arah NFCORP bayar balik RM33.7 juta kepada kerajaan


Pintu gerbang jalan masuk ke Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan yang kini terbiar dipenuhi semak samun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) agar membayar balik RM33.7 juta kepada kerajaan berhubung projek Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, Negeri Sembilan.

Membenarkan saman kerajaan terhadap NFCorp dan 10 lagi defendan, hakim Anand Ponnundurai mengarahkan NFCorp selaku defendan pertama membayar balik kepada kerajaan sejumlah RM33,743,591.37, iaitu sebahagian daripada jumlah pinjaman yang tidak digunakan.  

“Plaintif (kerajaan) mempunyai hak ke atas RM86.9 juta yang disita daripada defendan, yang pada masa ini dipegang oleh akaun awam secara eskrow (pihak ketiga),” katanya.

Hakim juga memerintah 11 defendan terbabit memulangkan tanah di Gemas dan Putrajaya serta unit kondominium One Menerung di Kuala Lumpur yang dibeli menggunakan dana pinjaman itu kepada kerajaan, yang merupakan pemilik benefisial hartanah berkenaan.

Bagaimanapun hakim turut membenarkan tuntutan balas defendan serta memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 ganti rugi nominal kepada defendan.

Dalam saman itu, kerajaan selaku plaintif tunggal menamakan NFCorp sebagai defendan pertama, sementara Dr Mohamad Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif NFCorp dan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil  serta tiga anak mereka, iaitu Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah sebagai defendan kedua hingga kelima masing-masing.

Defendan lain ialah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd, dan Technology Imageware (M) Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan menyatakan ia menandatangani satu perjanjian dengan NFCorp pada 6 Dis 2007, bagi membiayai kos membangunkan dan mengoperasikan Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, sebagai sebahagian dasarnya untuk mengembangkan dan meningkatkan pengeluaran daging lembu.

Pinjaman itu dibayar dalam tiga tranche dan keluarga Mohamad Salleh didakwa membuat 10 pengeluaran dengan jumlah keseluruhan RM180.51 juta, dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.

Dalam penghakimannya, Anand berkata tidak ada bukti bahawa pinjaman itu telah disalah guna oleh defendan.

“Saya dapati tidak ada fakta mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa dana pinjaman telah digunakan dan dipindahkan secara menyeleweng. Seperti yang dilihat sebelum ini, saya dapati pembelian hartanah dibenarkan dan bukan merupakan pelanggaran perjanjian kemudahan pinjaman.

“Saya juga dapati plaintif (kerajaan) gagal membuktikan sebarang bentuk ketidakjujuran defendan,” katanya.

Dalam penghakiman tidak membenarkan tuntutan penuh kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM253.6 juta bagi projek itu, Anand berkata plaintif gagal membuktikan kes dakwaan konspirasi, penipuan serta pecah amanah dalam penggunaan wang pinjaman semasa pemeriksaan balas saksi defendan.

“Sehubungan itu, saya dapati hal ini adalah sama seperti plaintif mengabaikan dakwaan konspirasi, penipuan dan pecah amanah penggunaan wang pinjaman.

“Selepas menimbang semua perkara tersebut, kesudahannya saya tidak yakin bahawa plaintif telah membuktikan konspirasi keluarga Salleh dan syarikat milik keluarga Salleh untuk menipu kerajaan,” tambah beliau.

Prosiding dihadiri oleh Peguam Kanan Persekutuan  Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan dan peguam K. Kirubakaran bagi pihak semua defendan.

Sementara itu dalam satu kenyataan bersama Peguam Kirubakaran and Datuk Seri Rajan Navaratnam menyatakan dalam kes kerajaan melawan NFCorp dan 10 lagi defendan, Mahkamah Tinggi mendapati Kerajaan Malaysia gagal membuktikan kes terhadap semua defendan.

Mahkamah juga mendapati bahawa tiada penyalahgunaan wang pinjaman dan tiada pelanggaran “fiduciary duties” oleh defendan-defendan dan hakim membebaskan Keluarga Salleh dan defendan-defendan dari semua pertuduhan penyelewengan.

“Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa tidak ada kesalahan undang-undang bagi para defendan menggunakan sebahagian daripada jumlah wang pinjaman untuk melabur dalam hartanah atas nama syarikat.  NFCorp tidak melanggar Perjanjian Pinjaman dan Perjanjian Pelaksanaan dalam hal ini,” kata mereka.

Kedua-dua peguam itu berkata Mahkamah Tinggi mendapati bahawa Kerajaan Malaysia melanggar Perjanjian Pelaksanaan apabila mereka gagal membina rumah sembelih untuk kualiti eksport dan melanggar Perjanjian Pinjaman apabila mereka membatalkan perjanjian tersebut secara tidak sah.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan agar aset pelaburan dipindahmilikkan kepada Kerajaan.

“Bagaimanapun, kerana Mahkamah Tinggi mendapati bahawa matlamat projek tidak tercapai, hakim  memutuskan bahawa jumlah pinjaman yang tidak digunakan sebanyak lebih RM33 juta perlu dikembalikan oleh NFCorp kepada Kerajaan. Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan balas NFCorp dan membenarkan ganti rugi nominal,” kata mereka. – Bernama, 13 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen