Mahkamah Persekutuan tolak rayuan pengerusi eksekutif NFCorp dalam kes saman Rafizi 


BEKAS ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli tidak dianggap memfitnah pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Dr Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya semasa membuat kenyataan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan, menurut Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed menolak rayuan oleh Mohamad Salleh serta syarikatnya, dan memerintahkannya untuk membayar kos RM70,000 kepada Mohd Rafizi.

Dalam keputusan mahkamah hari ini, Azahar berkata kenyataan Mohd Rafizi dibuat tanpa niat jahat, dan mahkamah mandapati dia tidak bermotifkan niat jahat semasa membuat kenyataan yang dikatakan berunsur fitnah itu.

Beliau juga berkata bahawa terdapat substratum fakta yang mencukupi untuk membolehkan Mohd Rafizi membuat kenyataan itu.

Katanya Mohd Rafizi juga percaya dengan ikhlas bahawa dakwaannya itu adalah benar, dan bahawa dia sedang melaksanakan tanggungjawab awam dalam menuntut akauntabiliti yang lebih besar berhubung pengurusan dana awam.

“Pada pandangan saya kesimpulan responden (Mohd Rafizi) bahawa dana awam disalah guna untuk dimanfaatkan bagi mendapat pinjaman Public Bank adalah pandangan dan kesimpulan yang akan dibuat dengan jujur oleh sesiapa sahaja yang berfikiran waras.

“Sehubungan itu Mohd Rafizi tidak boleh dipertanggungjawab terhadap fitnah,” kata Azahar.

Hakim Mahkamah Persekutuan Zaleha Yusof dan Zabariah Mohd Yusof senada dengan keputusan Azahar.

Pada 2013, Mohamad Salleh dan NFCorp menyaman Mohd Rafizi dengan mendakwa beliau (Mohd Rafizi) telah membuat pernyataan fitnah pada 7 Mac, 2012 pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah KL Eco City yang didakwanya menggunakan RM71 juta pinjaman kerajaan sebagai cagaran.

Pada 31 Oktober 31, 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Mohd Rafizi membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Mohamad Salleh dan RM50,000 sebagai ganti rugi kepada NFCorp selepas membenarkan saman beliau terhadap Mohd Rafizi.

Bagaimanapun pada 2019, keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada Mohd Rafizi apabila ia mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi itu.

Pada 2020 Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Mohamad Salleh dan NFCorp untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas peguam Mohd Rafizi tidak membantah terhadap permohonan itu memandangkan beberapa alasan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak dibangkitkan dalam kes mereka.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Mohamad Salleh dan NFCorp manakala Mohd Rafizi diwakili oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh. – Bernama, 21 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen