Bicara kes saman kerajaan terhadap NFC bersambung esok


PERBICARAAN kes saman kerajaan terhadap National Feedlot Corporation (NFC) untuk mendapatkan semula RM253.6 juta pembayaran pinjaman dan faedah daripada syarikat itu berhubung projek Pusat Fidlot Nasional, di Gemas, Negeri Sembilan, ditangguhkan ke esok.

Hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai menetapkan esok untuk mendengar kes itu yang dijadualkan bersambung hari ini selepas Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memohon penangguhan bagi membolehkan pihak-pihak terlibat berbincang untuk penyelesaian kes di luar mahkamah.

Peguam K. Kirubakaran, yang mewakili NFC juga memaklumkan mahkamah Pengerusi NFC Mohamad Salleh Ismail, yang sepatutnya memberi keterangan hari ini, tiada di mahkamah.

Annand yang kini bertukar ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semasa menangguhkan perbicaraan ke esok berkata kes berjalan sejak 2020 dan sebelum ini pihak-pihak terlibat memohon penangguhan untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pihak-pihak boleh mencapai penyelesaian secara baik sementara perbicaraan berjalan. Saya rasa lebih baik untuk meneruskan kes ini. Kalau saman diselesaikan, bagus, jika tidak saya buat kerja saya dan buat keputusan,” kata beliau dan menetapkan perbicaraan bersambung esok.

Dalam saman itu, kerajaan menamakan NFC sebagai defendan pertama, manakala Salleh yang merupakan suami bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil, dan tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn  Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Kerajaan mendakwa satu perjanjian ditandatangani dengan NFC pada 6 Dis, 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman itu disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat, dan keluarga Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011. – Bernama, 7 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen