Rafizi sedia ambil tindakan dapatkan semula RM250j pinjaman NFC


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berikrar mendapatkan semula duit rakyat RM250 juta yang diberikan kepada NFC pada 2011, berkata wang itu boleh diguna untuk membantu rakyat dengan meningkatkan bekalan makanan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2022.

RAFIZI Ramli sedia mengambil tindakan undang-undang dan politik untuk mendapatkan semula dana rakyat RM250 juta yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFC) bagi projek ternakan lembu yang kemudiannya terbongkar jadi skandal pada 2011.

Timbalan presiden PKR terpilih membuat ikrar itu selepas Maybank Singapore Limited menarik balik saman mendapatkan semula pinjaman perumahan daripada pengerusi NFC Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya yang membeli hartanah di Singapura.

Mohamad Salleh adalah suami kepada bekas ketua wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

“Ini gambaran bagaimana sekiranya Umno kembali berkuasa sepenuhnya di Putrajaya, skandal-skandal penyelewengan wang rakyat berkemungkinan akan ditutup begitu sahaja dan bekas-bekas pimpinan Umno yang terpalit dengan rasuah akan bebas begitu sahaja.

“Walaupun kes NFC sudah berlaku lebih sedekad, saya akan terus memantau dan tidak akan teragak-agak mempertimbangkan tindakan undang-undang dan tindakan politik untuk menuntut kembali RM250 juta dana rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Rafizi, wang sebanyak itu boleh diguna untuk meningkatkan bekalan makanan negara terutama ketika rakyat berdepan kenaikan harga makanan yang luar biasa.

Semalam, media melaporkan Maybank Singapore Ltd menarik balik saman berkenaan selepas mencapai perjanjian penyelesaian dengan suami dan anak-anak Shahrizat.

Saman berkenaan adalah bagi mendapatkan baki ke atas dua pinjaman perumahan untuk dua unit hartanah berasingan di Singapura. Kedua-dua unit berkenaan, satu di Orchard Scotts dan satu lagi di Central Boulevard, telah dilelong namun hasil jualannya tidak cukup untuk melunaskan hutang.

Rafizi berpendapat keputusan Maybank Singapore untuk tidak meneruskan tindakan saman itu “sangatlah tidak sensitif” kepada kepayahan rakyat biasa menanggung hutang sejak wabak Covid-19.

“Rakyat tidak lupa bagaimana sukarnya untuk mendapat pelepasan dan kelonggaran daripada pihak bank (termasuk Maybank) untuk menguruskan ansuran hutang mereka sepanjang tempoh dua tahun yang lepas.

“Ramai juga rakyat biasa yang jatuh muflis kerana gagal melunaskan hutang mereka, yang jumlahnya jauh lebih kecil daripada hutang NFC kepada Maybank Singapore,” tambahnya.

Rafizi juga mendakwa Shahrizat dan keluarganya seolah-olah mendapat layanan istimewa walaupun berhutang puluhan juta wang rakyat.

Beliau menyebut rundingan NFC dengan kerajaan untuk menyelesaikan saman tuntutan RM250 juta dana rakyat.

Rafizi juga mendakwa keluarga Shahrizat masih belum membayar kos kalah saman di Mahkamah Persekutuan seperti yang diperintah oleh mahkamah.

Pada April 2022, Mahkamah Persekutuan memerintahkan NFC dan Mohamad Salleh membayar kos RM70,000 kepada Rafizi selepas menolak rayuan saman mereka terhadapnya.

“Perkara ini sedang diuruskan oleh peguam saya mengikut proses undang-undang supaya mereka akur dengan perintah mahkamah dengan sewajarnya,” katanya.

Dalam kenyataan, Rafizi juga mempersoalkan tindakan kerajaan melantik anak Shahrizat iaitu Wan Izzana Fatimah Zabedah ke beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan biarpun berdepan tindakan saman.

Wan Izzana baru-baru ini dilantik ahli lembaga pengarah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Beliau juga pengarah di TalentCorp dan ahli panel pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kata Rafizi. – 13 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen