Patutkah konsep Malaysian Malaysia ala DAP digugurkan?


KONSEP Malaysian Malaysia sebelum ini digunakan Lee Kuan Yew dan PAP untuk menentang kerajaan Perikatan di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan merujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan keistimewaan yang diberi kepada kaum Melayu dan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam, pemberian biasiswa awam, dan kemasukan ke institusi pendidikan awam serta pemberian lesen perdagangan.

DAP kemudian mengguna pakai konsep Malaysian Malaysia ala DAP, dan dalam beberapa deklarasi seperti Deklarasi Setapak, mereka menyatakan bahawa:

“DAP komited kepada sebuah Malaysia yang bebas, demokratik dan sosialis, berdasarkan prinsip kesaksamaan kaum, keadilan sosial dan ekonomi, dan berdasarkan institusi demokrasi berparlimen”

Deklarasi Setapak juga mengisytiharkan bahawa kuota dan perbezaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera wajar dihapuskan.

Terdapat juga deklarasi lain seperti Deklarasi “Cultural” yang menggesa:

(i) Pemansuhan klasifikasi “sekolah kebangsaan” dan “sekolah jenis kebangsaan” supaya layanan sama rata boleh diberikan kepada semua aliran pendidikan, iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Ia juga menyatakan komitmen DAP bahawa “Bahasa Cina dan Tamil diterima sebagai medium pengajaran dan juga di dalam ujian peringkat sekolah rendah dan menengah di semua sekolah aliran Cina dan Tamil.

dan

(ii) Kemasukan ke universiti akan diterima berdasarkan merit kelayakan pendidikan asas sahaja.

Deklarasi “Cultural” ini juga berhasrat mengembalikan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa rasmi serta menggalakkan penggunaan Bahasa Tamil dan Cina, serta membenarkannya digunakan di dalam persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hari ini kesemuanya terbukti hanya propaganda DAP yang menghasut kebencian terhadap parti komponen Perikatan dan juga Barisan Nasional.

Oleh itu, sudah tiba masa DAP menilai semula janji-janji mereka dan mengakui kesilapan mereka.

DAP membuat beberapa deklarasi yang berbeza dalam usaha untuk menutup tuntutan mereka yang tidak munasabah, tidak tepat pada masanya dan tidak selari dengan sentimen politik hari ini.

Malah, hari ini di dalam publisiti rasmi DAP, mereka telah mengisytiharkan komitmen mereka untuk menegakkan dan menjunjung perjuangan Tunku Abdul Rahman dan Perlembgaan Persekutuan.

Ini merupakan komitmen MCA yang ditiru oleh DAP, dan ia adalah janji-janji DAP untuk hak sama rata yang menyebabkan MCA kalah lebih separuh kerusi Parlimen yang ditanding kami semasa pilihan raya umum 1969, yang seterusnya membawa kepada kejatuhan Perikatan dan Tunku Abdul Rahman. Sejarah kemudian tercatat selepas tragedi 13 Mei.

Kebelakangan ini Umno menyeru DAP untuk menilai semula perjuangan Malaysian Malaysia mereka.

Ini dikatakan membangkitkan syak wasangka dan ketegangan di kalangan masyarakat Melayu, khususnya berkenaan janji-janji DAP untuk menghapuskan kuota dan hak istimewa Bumiputera.

Soalan saya adalah ini:

(i) Adakah benar konsep Malaysian Malaysia ala DAP, atau konsep DAP mengenai Malaysian Malaysia yang menyumbang kepada ketegangan kaum hari ini?

Sekiranya konsep Malaysian Malaysia selari dengan perjuangan Perikatan dan wawasan Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, maka kami seharusnya mendidik dan menghuraikan konsep ini kepada semua rakyat di dalam konteks kepelbagaian budaya, bangsa dan negara.

(ii) Sekiranya Malaysian Malaysia ala DAP adalah selari dengan janji DAP untuk menghapuskan kuota Bumiputera dan mengembalikan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahawa rasmi dan lain-lain maka sudah sampai masa untuk DAP mengakui kesilapan mereka kepada seluruh rakyat.

Ini adalah isyarat paling mudah bagi DAP terhadap pemulihan sebuah Malaysian Malaysia yang bersatu dan harmoni, yang merupakan impian seluruh rakyat Malaysia. – 1 September, 2023.

* Ti Lian Ker merupakan Naib Presiden MCA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen