3 langkah penyelesaian semasa dirangka BAM


BAM rangka tiga langkah penyelesaian semasa bagi atlet yang berhasrat untuk melangkah ke dunia profesional, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2022.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) merangka tiga langkah penyelesaian semasa bagi atlet yang berhasrat untuk melangkah ke dunia profesional, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker berkata langkah tersebut adalah memberi pelepasan kepada atlet yang berhasrat untuk bergerak secara profesional, menarik semula penggantungan pemain-pemain profesional dan memberi kebenaran untuk atlet bertanding di temasya sukan antarabangsa.

“Dengan ini pihak kementerian berharap agar persatuan kebangsaan yang lain turut memperhalusi kedudukan dan memperkemaskan perjanjian antara atlet, penaja dan pihak berkaitan.

“Ini bagi memastikan kesinambungan dan perkembangan sukan negara diberi keutamaan, seimbang dengan perkembangan kerjaya dan keperluan peribadi atlet.

“Ini adalah konsisten dan selari dengan keputusan bahawa pemain profesional pernah mewakili negara sebelum ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai punca BAM menghalang pemain daripada bergerak secara profesional, termasuk larangan menyertai kejohanan antarabangsa dan langkah yang diambil untuk memperbetulkan tindakan itu. – Bernama, 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen