MCA enggan bekerjasama dengan lawan demi kerusi


MCA berpegang teguh pada matlamatnya dan berusaha untuk menegakkan politik kesederhanaan dan Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2023.

MCA bukan oportunis politik yang menggadaikan prinsip dan kepercayaannya semata-mata untuk memenangi lebih banyak kerusi atau untuk berkuasa, kata naib presidennya, Ti Lian Ker, hari ini.

Senator itu berkata parti berasaskan kaum Cina itu akan terus berpegang teguh pada matlamatnya dan berusaha untuk menegakkan politik kesederhanaan dan Perlembagaan Persekutuan.

“MCA tidak akan bertindak semata-mata untuk berkuasa atau memberi janji-janji kosong maupun menjatuhkan lawan melalui fitnah atas provokasi dan justifikasi politik untuk mencari kesempatan berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kami tidak akan bertindak mengikut peluang atau kesempatan politik dengan menjatuhkan parti lawan melalui pembohongan, tohmahan atau fitnah  dan kemudiannya memohon maaf untuk berkawan semata-mata demi untuk berkuasa.”

Ti berkata demikian sebagai menjawab nasihat seorang ahli akademik agar MCA bekerjasama dengan pesaing DAP untuk berada dalam kedudukan baik bagi rundingan mendapatkan kerusi yang boleh dimenangi pada pilihan raya negeri akan datang.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata MCA tidak mempunyai pilihan selain bekerjasama dengan DAP untuk kekal relevan memandangkan Barisan Nasional (BN) kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.

“MCA tidak boleh terus bergantung kepada undi Melayu untuk memenangi kerusi seperti dahulu,” kata Awang Azman seperti dalam FMT.

“Kelangsungan hidupnya banyak bergantung kepada hubungannya dengan DAP. Jika ia menolak, ia akan menjadi tidak relevan.”

Bagaimanapun Ti, menolak sebarang langkah sedemikian, dengan berkata MCA lebih suka berpegang pada prinsipnya.

“Kami juga tidak akan mengeksploitasi sentimen dan emosi ekstremime secara radikal untuk mengaut sokongan sesuatu kaum,” katanya.

Ti berkata MCA akan mengadakan sesi percambahan fikiran bagi perancangan masa depannya.

MCA hanya menang dua kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum baru-baru ini, dan kedua-duanya berada di Johor.

DAP pula memperoleh 40 kerusi.

MCA, yang merupakan ahli pengasas BN, tidak termasuk dalam Kabinet kerajaan perpaduan.

Ti berkata MCA menyokong kerajaan demi kestabilan politik. – 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen