WoW sasar penyertaan 5,000 wanita muda


Ti Lian Ker berkata, usahawan dan ikon wanita selain pempengaruh media sosial akan diundang bagi berkongsi pengetahuan dan bertukar pendapat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2022.

PROGRAM ‘Women of Wisdom’ (WoW) anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-Lead) menyasarkan 5,000 penyertaan wanita muda tahun ini dalam usaha melahirkan golongan berketerampilan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker berkata setakat ini kira-kira 500 peserta dari Kedah, Sabah dan Pahang menyertai program itu dan mendapat pendedahan antaranya dalam bidang kepimpinan, komunikasi dan personaliti.

Beliau berkata, usahawan dan ikon wanita selain pempengaruh media sosial akan diundang bagi berkongsi pengetahuan dan bertukar pendapat.

“Program yang dianjurkan secara percuma ini satu platform perkongsian pengalaman dan idea bagi merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan berdaya saing.

“Ia dianjurkan berterusan dengan menyasarkan 5,000 penyertaan dari seluruh negara dan selepas ini kita akan menganjurkannya di Melaka,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian penutup program WoW4U@i-Lead di Kuantan hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah i-Lead Haswandi Ahmad.

Pada majlis itu, seramai 120 peserta terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswi dari pelbagai universiti awam dan swasta berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun menyertai program berkenaan.

Orang ramai yang berminat untuk menyertainya boleh mengunjungi laman web https://i-lead.gov.my untuk maklumat lanjut. – Bernama, 2 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen