KBS tidak boleh campur tangan operasi BAM, kata timbalan menteri 


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker berkata sebarang isu perlu ditujukan kepada kementerian melalui pesuruhjaya sukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2022.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam pentadbiran atau arahan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kata Ti Lian Ker hari ini.

Timbalan menteri belia dan sukan itu berkata sebarang isu perlu ditujukan kepada kementerian melalui pesuruhjaya sukan.

Beliau juga berkata bahawa persoalan pemain badminton menjadi profesional mesti ditujukan kepada BAM.

“Bagaimanapun, BAM telah menemui jalan penyelesaian kepada atlet yang ingin menjadi pemain profesional seperti melepaskan mereka dan membenarkan atlet bersaing di kejohanan antarabangsa.

“Kementerian juga berharap persatuan sukan memperhalusi taraf antara atlet dan penaja serta pihak lain bagi memastikan kepentingan dan kesinambungan sukan negara diutamakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ti menjawab soalan William Leong Jee Keen (Selayang-PH) yang meminta untuk menyatakan sebab BAM menghalang pemain menjadi pemain profesional, termasuk melarang mereka menyertai kejohanan antarabangsa.

Ahli Parlimen pembangkang itu juga ingin tahu langkah-langkah yang diambil untuk membetulkan tindakan ini.

Pada 21 Januari, BAM mengumumkan bahawa ia tidak akan mendaftarkan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia untuk sebarang kejohanan selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari selepas beliau menghantar surat keluar dari BAM pada 11 Januari.

Bagaimanapun, pada 25 Januari, Presiden BAM Mohamad Norza Zakaria memberi Lee lampu hijau untuk menjadi pemain profesional selepas menerima rayuannya dan mengadakan perbincangan dengan pemain itu.

Ti juga berkata atlet yang ingin menjadi pemain profesional akan menjejaskan matlamat sukan tertentu dan badan kebangsaannya.

“Ini seterusnya akan memberi impak besar kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) yang mana akan berlaku konflik dengan persatuan sukan dan penaja mereka.

“Persatuan tertentu itu mungkin memulakan tindakan undang-undang berdasarkan kekurangan komitmen.”

Beliau berkata kementerian dan BAM mempunyai rancangan jangka panjang untuk melatih pemain dan melahirkan atlet bertaraf dunia.

“Pelaburan ini menunjukkan komitmen kerajaan kepada NSA untuk memastikan pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat antarabangsa dapat dicapai.”

Leong turut mempersoalkan jika BAM lebih mementingkan keuntungan berbanding tajaan, dan memegang monopoli ke atas badminton di negara ini.

Beliau berkata persatuan kebangsaan dilihat sanggup memusnahkan kerjaya pemain yang mahu menjadi pemain profesional berbanding memenuhi objektif mereka untuk membentuk pemain menjadi pemain bertaraf dunia.

“Apa salahnya BAM bekerjasama dengan pemain profesional seperti yang dilakukan di negara lain seperti Denmark?

“Mengapa pemain profesional menghadapi masalah dengan BAM? Mengapa kita tidak boleh bekerjasama?” – 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen