Retorik kaum dan agama umpama bom jangka, kata penyelidik


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Yusri Ibrahim mengingatkan kerajaan agar menangani isu sentimen dan kaum di Malaysia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2023.

MALAYSIA akan menghadapi masalah jika Putrajaya gagal menangani sentimen kaum dan agama yang semakin memuncak, kata ketua penyelidik Ilham Centre Dr Yusri Ibrahim.

Sambil menyatakan kebimbangannya berikutan keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini, ahli akademik itu berkata sentimen kaum dan agama mesti dibendung sambil menggesa kerajaan memperkenalkan pendidikan awal mengenai demokrasi dan politik.

“Ia adalah bom jangka yang berdetik dan apabila tiba masanya, ia akan meletup. Apabila ia meletup, negara kita akan mengalami masalah.

“Bagi sesetengah pihak, demokrasi bukan lagi untuk pembinaan negara tetapi sebagai kepuasan kuasa.

“Kita semakin berpecah kerana sentimen agama dan kaum dan perkongsian paling ideal untuk mentadbir negara adalah melalui gabungan berbilang kaum, budaya dan etnik. Ini adalah asas kepada kestabilan,” katanya hari ini semasa mendedahkan hasil tinjauan Ilham Center mengenai pilihan raya enam negeri.

Yusri berkata, ahli politik juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kestabilan negara serta menurunkan suhu politik di kalangan penyokong mereka.

Beliau menggesa pergerakan masyarakat sivil untuk menjadi lebih aktif sebagai ejen semak dan imbang, termasuk sebagai pendidik kepada orang ramai dalam hal berkaitan politik.

“Pemimpin mempunyai kewajipan moral untuk memastikan bahawa kita mempunyai pemahaman yang matang tentang politik, dan tidak mencurahkan bahan api kepada sentimen untuk keuntungan politik murahan.

“Retorik kaum dan agama mesti dihentikan serta merta, sama ada melalui pendidikan, undang-undang mahupun kempen. Kita perlu mengajar anak-anak kita seawal mungkin tentang politik, demokrasi dan pilihan raya.

“Kita memerlukan mereka celik sebelum mencapai umur mengundi,” katanya dalam ucapannya di Universiti Malaya.

Memetik hasil tinjauannya, Yusri membuat kesimpulan bahawa Perikatan Nasional telah menggunakan banyak naratif kaum dan agama terhadap dakwaan ancaman yang kononnya sedang dihadapi oleh orang Melayu.

Beliau berkata isu negeri tidak diketengahkan oleh parti politik. Sebaliknya isu-isu berkaitan orang Melayu dimainkan tanpa henti.

Yusri mengakui PN sedang menceroboh kerusi campuran dengan 60% pengundi Melayu, bermula dengan Kedah.

“Kawasan ini tidak lagi selamat untuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Pengundi di Kedah Kelantan dan Terengganu sedar bahawa pemimpin mereka kurang berkesan berbanding di Selangor dan Pulau Pinang tetapi mereka komited untuk mengundi PN dan PAS.”

Terdahulu, rakan sejawat Yusri, Mujibu Abdul Muis berkata, pada pilihan raya di Kedah, Kelantan dan Terengganu menunjukkan PN mendapat lebih 60% sokongan Melayu berbanding PH-BN. 

“Di Kedah dan Kelantan, PN mendapat 69% undi Melayu manakala di Terengganu 68%. PH-BN masing-masing menerima 30%, 31% dan 32% undi Melayu.

“Walaupun Umno telah mengambil beberapa langkah untuk membetulkan imejnya, parti itu masih gagal menarik pengundi, lebih teruk lagi menimbulkan kemarahan orang Melayu.

“Umno tidak belajar daripada kesilapan sebelum ini. Dari 2004 hingga 2018, Umno tidak melakukan apa-apa,” tegas Mujibu. – 25 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen