BEKAS ahli Parlimen Cameron Highlands Sivaraj Chandran isytihar keluar MIC berkuat kuasa serta-merta.
“Saya ingin memaklumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Cawangan MIC Taman Bukit Kuchai Baru dan pengisytiharan keluar parti dari MIC dengan serta-merta berkuat 27 Jun 2023,” katanya dalam sepucuk surat kepada Presiden MIC SA Vigneswaran, yang dilihat The Malaysian Insight.
Sivaraj berkata keputusan itu dibuat kerana beliau ingin menumpukan tugas sebagai senator dan pemimpin masyarakat India tanpa sebarang halangan atau sekatan dari mana-mana pihak, terutamanya dari kepimpinan MIC
“Sejak menyertai MIC hampir 20 tahun beberapa peristiwa yang berlaku seketika berkhidmat di bawah kepimpinan Vigneswaran menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk keluar parti.
“Secara peribadi saya merasakan keputusan ini adalah yang terbaik untuk saya dan yang paling penting kepada parti buat masa ini kerana saya dilihat sebagai satu ancaman kepada kepimpinan sedia ada di dalam parti.
“Lebih buruk lagi, saya disekat dengan pelbagai cara dari meneruskan khidmat bakti saya kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Bekas ketua Pemuda MIC itu juga mendakwa beliau dilihat sebagai ancaman kepada kepimpinan parti.
“Lebih buruk lagi, saya disekat dengan pelbagai cara dari meneruskan khidmat bakti saya kepada masyarakat dan negara,” katanya, menambah jika terus berpanjangan dibimbangi akan mendorong kepada perpecahan dalam kalangan ahli parti, tambah Svaraj.
“Sejujurnya, saya tidak hendak menjadi punca parti ini terus berpecah belah akibat perbezaan pandangan dan pendekatan.”
Dua minggu lepas Sivaraj yang juga bekas naib presiden MIC dipecat daripada jawatan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC berkuat kuasa 10 Jun.
Beliau dilantik sebagai ahli CWC selepas kalah pada pemilihan parti pada 2021.
Tiada alasan diberikan mengapa beliau dipecat. – 27 Jun 2023.
Komen