SATU usul pengosongan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang dijadual 6 Mac kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata usul itu akan dibentangkan untuk pengosongan kerusi DUN Sungai Acheh, Seberang Jaya, Bertam dan Telok Bahang.
“Satu usul akan dibentangkan dengan tujuan pengosongan empat kerusi DUN ekoran daripada keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan perkara-perkara dalam Perlembagaan negeri yang melarang ADUN dipilih keluar daripada parti,” katanya kepada pemberita di Geroge Town hari ini.
Pada 2020 ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.
Namun pada 16 Disember 2022 Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan empat ADUN Pulau Pinang itu untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN berkenaan daripada meluluskan usul undang-undang antilompat parti.
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau dipilih selain sebagai calon parti politik menyertai parti politik lain.
Sebelum ini Chow yang juga ADUN Padang Kota berkata DUN Pulau Pinang perlu bersidang buat kali terakhir sebelum dibubarkan untuk beri laluan kepada Pilihan Raya Negeri kerana perlembagaan negeri menetapkan DUN Pulau Pinang perlu bersidang dalam tempoh tidak lebih enam bulan selepas ia dibubarkan. – Bernama, 20 Februari, 2023.
Komen