Ketua Bersatu Bahagian Padang Terap umum keluar parti


Syed Sobri mengumumkan peletakan jawatannya hari ini. – Gambar Facebook, 24 Oktober, 2022.

KETUA Bersatu Bahagian Padang Terap Syed Sobri Syed Hashim hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua bahagian itu dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya lebih 1,000 ahli Bersatu bahagian berkenaan serta empat ketua serta ahli jawatankuasa (AJK) beberapa cawangan di Bahagian Padang Terap turut mengikut jejak langkahnya meninggalkan parti.

Beliau mendakwa tindakan keluar parti itu dibuat atas faktor hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu yang dilihat hanya beretorik dan bukan berjuang untuk rakyat.

“Tindakan keluar parti ini dibuat atas kerelaan tanpa paksaan atau kerana ditawarkan habuan tertentu. Langkah ini didorong oleh rasa hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pimpinan Bersatu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Syed Sobri pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang mewakili Barisan Nasional dari 2008 hingga 2013. – Bernama, 24 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen