Ketua Pemuda Umno Seremban sah keluar parti, masuk PAS


Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin dilaporkan keluar parti dan menyertai PAS kerana hilang percaya kepada kepimpinan tertinggi Umno.– Gambar Facebook, 18 Disember, 2022.

KETUA Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin rasmi keluar Umno dan menyertai PAS dengan alasan hilang percaya kepada kepimpinan tertinggi Umno, lapor media.

Beliau keluar Umno bersama 50 ahli parti, terutama dari Umno cawangan Kampung Rawa Lenggeng, termasuk penyanyi pop pada era 80-an Tengku Intan Tengku Abdul Hamid atau lebih terkenal dengan nama Dayangku Intan.

Zool Amali, yang juga dikenali dengan panggilan Jebat, berkata mereka keluar Umno kerana rasa tertipu dengan tindakan presiden Ahmad Zahid Hamidi menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya umum lepas.

“Saya rasa sudah tidak sesuai lagi untuk berada dalam parti yang penuh dengan kebatilan ini, lari dari prinsip asas perjuangan parti dan tindakan pemimpin Umno yang cuba mempermainkan suara ahli akar umbi.

“Kami hilang kepercayaan terhadap presiden Umno kerana segala tindakan yang beliau buat lari daripada keputusan yang dibuat dalam Persidangan Agung Umno (PAU).

“Ahli akar umbi rasa sedih dan kecewa dengan tindakan dilakukan kepemimpinan tertinggi parti, jadi sampai bila ahli bawah ini hendak diperkudakan sedemikian rupa,” katanya, seperti dipetik BH Online.

Beliau menyerahkan borang keahlian PAS kepada Yang Dipertua PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri di kediaman keluarganya di Kampung Rawa Lenggeng, petang semalam.

Zool Amali, 40, juga berkata beliau masuk PAS bukan kerana mengejar jawatan tetapi ikhlas kerana Umno sudah menyimpang daripada landasan perjuangan.

Dalam pada itu, Rafiei dipetik berkata penyertaan Zool Amali akan mengukuhkan lagi PAS di Negeri Sembilan terutamanya di Seremban menjelang pilihan raya negeri yang akan diadakan tahun depan.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang belum mengadakan pilihan raya negeri, yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun depan.

Zool Amali antara beberapa pimpinan Umno yang tampil secara terbuka mendesak Ahmad Zahid letak jawatan presiden selepas prestasi buruk Umno dan BN pada pilihan raya umum lepas.

Beliau berpendapat kekalahan Umno dan BN berpunca daripada Ahmad Zahid, seperti yang diramal oleh banyak pihak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

BN menang 30 kerusi daripada keseluruhan 179 kerusi yang ditandingi, termasuk empat yang dimenangi komponen MCA, MIC, dan PBRS.

Beberapa menteri Umno dalam pentadbiran lepas juga kalah, antaranya naib presiden Mahdzir Khalid (Padang Terap), Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh), dan Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas).

BN juga tidak mempunyai wakil di Dewan Rakyat dari tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor, dan Melaka. – 18 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen