Munshi naik haji


Faisal Tehrani

Umat Islam dari seluruh dunia dalam perjalanan ke Mekah untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini. – Gambar AFP, 6 Jun, 2023.

MINGGU sebelumnya saya menulis mengenai keraguan saya, Hang Tuah betul-betul naik haji. Ini kerana nukilan beliau itu sangat ala kadar dan kurang entusiasnya.

Pun, ada sebuah catatan yang mendalam dan harus diberi perhatian oleh kita, khususnya buat bakal hujjaj.

Catatan tersebut dikarang oleh seseorang yang sebetulnya bukan Melayu, tetapi ditulis dalam bahasa Melayu. Pengarang itu adalah Munshi Abdullah, yang merupakan kacukan Arab-India tetapi sangat menguasai bahasa Melayu.

Kalau kita menggunakan definisi Melayu mengikut Perlembagaan Malaysia, memanglah Munshi itu jatuh Melayu walaupun sebenarnya bukan. Karangan Munshi mengenai pengalamannya naik haji ini amat menarik. Tambahan kerana ia adalah satu dokumentasi dari kurun ke-19.

Munshi Abdullah bin Abdul Kadir lahir di Melaka, pada 1769 dan meninggal dunia di Jeddah dalam 1850-an. Menurut beliau sendiri, Munshi belayar ke Mekah dari Singapura dengan kapal Syeikh Abdul Karim bernama Subulus Salam pada 29 Jamadil Awal 1273 iaitu pada 1854 Masehi.

Rekod Munshi sebagai seorang yang begitu rajin menulis sangat baik sekali untuk kita tekuni dan ia memberi kita kefahaman akan susah payah yang dihadapi oleh jemaah haji dari rantau kita pada waktu itu. Beliau menghantarkan pengalamannya itu dalam “Kisah Pelayaran Munshi”.

Munshi mengisahkan bagaimana kapalnya belayar ke Aceh dan dalam pelayaran dilanda gelombang besar. Di pulau yang hanya bertimbunan batu, kelasi kapal turun menangkap burung untuk dimakan.

Setelah begitu lama, sembilan hari dan malam, kapal itu tiba di Sri Lanka dan kemudian ke Gali (barat laut Sri Lanka). Gelora laut yang keterlaluan dalam perjalanan menuju Kep Gambri (atau Cape Comerin di hujung selatan India) dirakam oleh Munshi sebagai azab yang tidak berbelah bahagi:

“Allah, Allah, Allah. Tiadalah dapat hendak dikhabarkan bagaimana kesusahannya dan bagaimana besar gelombangnya melainkan Allah yang amat mengetahuinya. Rasanya hendak masuk ke dalam perut ibu kembali; gelombang dari kiri lepas ke kanan dan yang kanan lepas ke kiri. Maka segala barang-barang dan peti-peti dan tikar bantal berpelantingan. Maka sampailah ke dalam kurung air bersemburan, habislah basah kuyup. Maka masing-masing dengan halnya, tiadalah lain lagi dalam fikiran melainkan mati. Maka hilanglah kapal sebesar itu dihempas gelombang.

“Maka rasanya gelombang itu lebih tinggi daripada pucuk tiang kapal. Maka sembahyang sampai duduk berpegang. Maka jikalau dalam kurung itu tiadalah boleh dikhabarkan bunyi muntah dan kencing melainkan segala kelasi selalu memegang bomba. Maka air pun selalu masuk juga ke dalam kapal.

“Maka adalah pada masa itu tiadalah apa yang kedengaran melainkan segala tali-tali kapal itu berdengung-dengung. Maka angin itu datang seperti dicurahkan orang rupanya, makin kencang-kencang. Akan hari cuacanya terang, terkadang kelihatan cahaya matahari, akan tetapi angin tiadalah dapat diperkatakan apalagi gelombang.

“Maka kelihatanlah lautan itu putih-seputihnya. Maka adalah hal masing-masing berpegang-pegang di tali. Maka beberapa kali layar pecah-pecah dan tali putus-putus. Maka pada ketika itu hendak menangis pun tiadalah berairmata, melainkan masing-masing keringlah bibir.

“Maka berbagailah berteriak akan nama Allah dan Rasul kerana Kep Gambri, kata mu’alimnya, sudah termasyhur ditakuti orang; ‘kamu sekalian pintalah do’a kepada Allah, kerana tiap-tiap tahun di sinilah beberapa kapal yang hilang, tiadalah mendapat namanya lagi, tiada hidup barang seorang, ah, ah, ah. Dengan hal yang demikian, tiga malamnya dan dua harinya, dengan kasihan dan tolongan Allah adalah reda sedikit anginnya. Maka lepaslah Kep Gambri, maka gelombang pun berhentilah.”

Setibanya di India, Munshi beralih kapal dan menunggu selama enam hari. Kapal dengan nakhoda bernama Muhamad Tamin inilah yang kemudian akan membawa beliau ke Jeddah.

Keadaan kapal ini tidaklah lebih baik dari sebelumnya, dan apa yang disentuh Munshi memanglah penceritaan penuh nestapa dan derita, khusus tatkala kapal menuju ke Yemen. Ketika itu bulan sudah memasuki Rejab.

Munshi mengambil miqat hajinya di Yalalam dan menceritakan bagaimana kapal mendekati dan berlabuh di Jeddah sehari kemudian:

Maka setelah esok hari maka kelihatanlah Negeri Judah itu, akan tetapi kapal itu tidaklah berani dekat. Maka pada masa itulah baharu mu’alim darat yang dibawa dari Hudaidah itu dua orang keluar, seorang naik ke atas tiang belakang dan seorang duduk di haluan dan mu’alim kapal itu duduk di tengah.

“Bermula, adapun mu’alim darat itu telah ditentukan membawa kapal itu masuk dengan selamatnya ke Judah, dibayar empat puluh ringgit. Setelah itu kulihat halnya jalan yang hendak dimasuki itu, penuhlah dengan karang, hijaulah rupanya laut itu kelihatan karangnya, melainkan adalah berlorong-lorong sedikit.

“Di situlah dijalankan kapalnya itu, serta berteriak yang di atas tiang itu memberitahu mu’alim yang di haluan, maka disahut oleh mu’alim yang di haluan itu, maka barulah disahut oleh mu’alim kapal itu berteriak jurumudi di buritan.

“Maka nakhodanya itu pun adalah berdiri dengan ketakutan. Maka orang sekaliannya pun tiadalah diberi bercakap-cakap. Maka masing-masing pun berdiamlah diri sambil meminta doa supaya lepas dari bahaya karang itu. Maka sebentar lagi kelihatanlah karang itu pun timbul seperti kota lakunya berkeliling. Maka layar semuanya diturunkanlah sehingga tinggal empat layar.

“Maka air pun seperti dilontar derasnya masuk. Maka adalah kira-kira tiga jam lamanya diberi Allah masuklah kapal itu dengan selamatnya dengan tiada sesuatu bahaya, adanya. Maka pada masa itu baharulah tertawa nakhoda serta sekalian orang yang di dalam kapal itu; maka baharulah membaca selawat tiga kali serta membaca doa selamat. Maka meriam pun sudahlah diisi, lalu ditembaklah tiga pucuk berturut-turut. Maka kapal itu pun berlabuhlah.”

Debar dan debur ketika berlabuh kapal ini cukup dramatik dan seru untuk dilukiskan kembali di dalam kepala. Tentu sahaja ia menggambarkan kepada kita betapa cemasnya seorang bakal haji hanya untuk tiba di Jeddah.

Seperti mana ragam jemaah haji hari ini saat tiba di Saudi, demikian jugalah jemaah pada zaman dahulu. Isu yang menjadi kekusutan tentulah soal menurun dan mencari barangan yang banyak, dan perlu diperiksa satu-satu serta dicukaikan pula:

Maka adalah pula dua orang Turki serta dengan jurutulisnya dan askarnya berdiri memegang senapang. Mereka adalah pada masa itu di situ seperti laku orang perang besarlah, kerana barang-barang pun bertimbun-timbun seperti bukit dan masing-masing mencari barangnya kerana tiada diasing-asingnya, seperti sayur dengan rambut, berkacau: ada yang pecah, ada yang hilang, ada yang bertukar.

“Maka Allahlah tahu susahnya pada masa itu, orang seperti semut, sedikit meleng mata sudah hilang barang. Orang kuli-kuli pun beratus-ratus berkerumun. Maka diangkatnya satu barang, dibawanya ke hadapan orang yang menerima cukai itu. Maka lambat dibuka peti dipecahkannya dan barang ikatan dipotongnya dan dikoyakkannya dengan kelakuan yang terlalu kekasaran, tiada dapat ditegahkan lagi; barang disukanya dibuatnya sahaja.

“Maka katanya, ‘Ini bayar sekian’. Barang katanya itulah dia; ada yang pakaian dipakai pun dicukainya, ada yang tiada cukainya, melainkan barang katanya itulah sahaja, tiada lagi boleh ditanya dan dipinta dan diketahui berapakah ‘adatnya. Maka sekali-kali tiadalah berketahui, adanya. Maka peti-peti tulis sekaliannya dibongkar, dibalik-balikkannya, habislah tempat da’wat terbalik, penuh kertas-kertas semuanya dengan da’wat, sebab terlalu banyak orang sekali gus diperiksanya. Hatta, setelah terlepas daripada bahaya itu – barang yang hilang, hilanglah dan yang rosak, rosaklah lalu diangkatlah barang masing-masing dibawa barang ke mana.”

Catatan Munshi yang sasterawi amat memberikan kita gambaran bagaimana susahnya mengerjakan haji pada kurun ke-19 di mana wang yang besar harus dibelanjakan untuk menambangkan kapal, dan perlu pula bertukar kapal berkali-kali sama ada di Pulau Pinang, atau Aceh dan kemudiannya di India.

Pelayaran itu pula memanglah menyabung nyawa dan belum tentu akan pulang setelah berangkat. Sama ada meninggal dunia di laut, atau di benua India mahupun di Hijaz.

Bukan itu saja, jumlah wang yang besar diperlukan pula apabila tiba di Jeddah, terutama perlu berdepan dengan pelbagai cukai dan “tebus rampasan” daripada pihak berkuasa Uthmaniyyah ketika itu.

Tidaklah menghairankan jika syarat naik haji itu ialah kemampuan. Memang jika tidak mampu tidak bersebab untuk dipaksakan. Apatah lagi perjalanan mengerjakan haji itu perlu dilakukan di usia yang tidak tua, dalam keadaan sihat tubuh badan, kuat dan waras; pendek kata tidak menyulitkan orang.

Hari ini, tentu saja perjalanan ke Mekah untuk menunaikan haji itu jauh lebih mudah malah dalam beberapa keadaan, ternyata amat mewah. Barangkali suatu yang jelas ialah mereka yang ingin mengerjakan haji pada zaman tersebut perlu berdepan dengan pemerasan wang yang berkali-kali.

Kali ini mungkin tiada pemerasan seumpama zaman lalu berlaku lagi (pun kita selalu mendengar kisah penipuan), tetapi tetap hamburan wang yang besar diperlukan.

Sewaktu saya menunaikan haji pada 2009, anggaran perbelanjaan tidaklah sebesar hari ini. Kini, saya melongo sungguh mendengar mahalnya tambang dan belanja haji.

Ketika saya berhaji itu saya membuat keputusan untuk tidak mencatat apa-apa kerana saya tidak mahu terkeliru duduknya saya di sana itu sebagai seorang tetamu Allah, atau sebagai sasterawan yang ghairah mengarang.

Memang, ya Tuhan, nafsu menulis sangat besar kerana saya amat bercita-cita menjadi Munshi.

Syukur. Saya gembira kerana memilih untuk tidak menulis seperti Munshi Abdullah ketika berhaji.

Menurut saya ia sesuatu yang mesti dialami, dan menjadi darah daging menyerap menjadi otot, dan menjalar di sendi lantas meresap dari kulit ke isi-isi langsung tulang-temulang.

Haji bukan travel, dan tiada travelog dapat menceritakan betapa dalam rohaninya rukun Islam yang kelima ini.

Ia adalah pengalaman khas yang sukar diungkapkan. – 6 Jun, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen