KWSP struktur semula akaun ahli, perkenalkan Akaun Fleksibel


KWSP berkata simpanan dalam akaun tiga iaitu Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2024.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menstruktur semula akaun ahlinya berkuatkuasa 11 Mei untuk memasukkan akaun ketiga dinamakan Akaun Fleksibel bagi pencarum berusia bawah 55 tahun bagi menyediakan fleksibiliti keperluan kewangan jangka pendek.

KWSP dalam pengumumannya hari ini berkata simpanan dalam akaun tiga itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Dua lagi akaun akan dikenali sebagai Akaun Persaraan (dulunya Akaun 1) akan digunakan untuk simpanan persaraan dan Akaun Sejahtera (dulunya Akaun 2) akan menampung pengeluaran untuk perbelanjaan pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata fokus utama inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP itu adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Berdasarkan mekanisme penstrukturan semula akaun KWSP itu, antara 11 Mei, 2024 dan 31 Ogos, 2024, ahli diberi pilihan sekali saja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli.

Kaedah pindahan bagi baki Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas ialah 10 daripada 30 (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel; lima daripada 30 (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan dan 15 daripada 30 (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Beliau berkata agi baki Akaun Sejahtera kurang daripada RM3,000, pindahan akan dibuat seperti berikut iaitu Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

“Inisiatif ini bukan saja respons KWSP terhadap keperluan semasa, tetapi ia langkah proaktif bagi membantu ahli yang berdepan dengan perubahan lanskap pekerjaan dan demografik populasi selain keperluan kitaran hidup ahli.

“Dengan penambahbaikan ini, KWSP berharap untuk memastikan setiap ahli dapat menguruskan kewangan dengan keyakinan dan berdaya tahan dalam persekitaran mencabar dan dinamik,” katanya.

Pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk apa juga tujuan, tertakluk kepada minimum RM50.

Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan itu boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau “Self-Service Terminal” yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Amalan menggabungkan semua simpanan Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang mencecah usia 55 tahun ke dalam Akaun 55 akan diteruskan.

Caruman baharu yang diterima ahli selepas usia 55 tahun akan dimasukkan ke Akaun Emas. – 25 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen