UM mohon maaf kontroversi ahli akademik AS, janji ambil tindakan


Universiti Malaya memohon maaf dan berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu kontroversi meliubatkan ahli akademik daripada Amerika Syarikat baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2024.

UNIVERSITI Malaya hari ini memohon maaf atas kontroversi yang ditimbulkan oleh ahli akademik Amerika Syarikat (AS) dengan kenyataan pro-Zionisnya awal minggu ini.

Ia berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera untuk membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadualkan dihadiri penceramah warga asing jemputan itu.

“UM kesal dengan kenyataan kontroversi yang tidak menghormati sentimen orang ramai seperti yang tersebar di media sosial.

“Laporan komprehensif mengenai isu ini sedang disediakan, dan langkah tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dalam isu ini.

“UM memandang serius perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat,” kata universiti itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya, bagi mengelakkan insiden seperti itu berulang, pihaknya akan meningkatkan prosedur dan garis panduan, terutamanya dalam pemeriksaan latar belakang individu atau pihak untuk kerjasama, termasuk menilai profil risiko media sosial.

Universiti itu juga berkata ia akan terus menyokong pendirian kerajaan terhadap sebarang hubungan dengan Israel dan menyokong sepenuhnya usaha mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka yang sah.

Profesor sains politik Universiti Portland, Bruce Gilley mencetuskan kemarahan apabila dia menyiarkan sebahagian ucapannya di acara UM yang mana dia menuduh ahli politik tempatan menyokong pembunuhan beramai-ramai kedua.

Gilley telah membuat kenyataan itu dalam ucaptamanya bertajuk “Will Malaysia become an active middle power?” pada 23 April.

Beliau berkata negara yang pemimpin politiknya “menyokong Holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia dan pastinya tidak akan pernah menjadi rakan atau rakan kongsi AS.”

Dia bagaimanapun menurunkan posting itu berikutan bantahan orang ramai.

“Saya telah keluarkan posting di bawah untuk keselamatan dan kesejahteraan rakan-rakan saya di UM, yang kepimpinannya telah bertindak balas terhadap bantahan pelajar.

“Petikan daripada ucaptama saya mencerminkan pandangan saya sahaja. Saya kesal dengan kemudaratan yang saya lakukan kepada rakan-rakan akademik saya,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pengajian Tinggi mengarahkan Universiti Malaya menyiasat kenyataan Gilley dan bagaimana dia dibenarkan menghadiri acara itu.

Menteri Zambry Abdul Kadir menggesa institusi pengajian tinggi tempatan supaya berhati-hati apabila memilih penceramah untuk acara mereka.

Dia mengarahkan universiti untuk membatalkan semua program lain yang menampilkan akademik AS.

“Walaupun universiti mempunyai autonomi dalam mengatur program intelektual mereka, ia tidak bermakna mereka mempunyai kebebasan mutlak. Kita mesti mempertimbangkan sensitiviti tempatan.

“Selain itu, keputusan yang dibuat oleh universiti mestilah selaras dengan pendirian dan dasar kerajaan.

“Saya telah mengarahkan UM untuk menyiasat perkara itu dan memberikan butiran terperinci kepada kementerian,” katanya dalam satu kenyataan. – 25 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen