Pelajar mahu UM proaktif tangani gangguan seksual di kampus


K. Kabilan

Hasil tinjauan Kelab Feminisme UM pada Januari lalu menunjukkan trend sangat membimbangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2024.

SEBUAH pertubuhan pelajar berharap pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) akan proaktif dan bertindak tegas dalam menjadikan kampus sebagai tempat lebih selamat untuk pelajar, terutamanya berdasarkan tinjauan terbaru mereka yang menunjukkan hampir satu daripada lima pelajar menghadapi gangguan seksual.

Pengasas dan Presiden Kelab Feminisme UM Chin Jes Weng berkata tinjauan dijalankan oleh kelabnya pada Januari menunjukkan trend yang sangat membimbangkan.

“Hasilnya agak membimbangkan. Tinjauan kami menunjukkan 1 daripada 5 pelajar menghadapi gangguan seksual. Namun, ramai daripada mereka tidak mengambil tindakan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika mereka mengalami gangguan seksual.

“Selain itu, 83% pelajar tidak mengetahui Kod Anti Gangguan Seksual di UM,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual.

Tambahnya, apabila kelab itu menyerahkan dapatan dan memorandum mereka kepada UM pada 29 Mac, wakil universiti daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar memberi jaminan perkara itu akan dirujuk kepada Unit Integriti (IU) yang bertanggungjawab terhadap gangguan seksual dalam kampus.

“Beliau berkata akan berjumpa kami semula selepas mendapat laporan daripada IU.

“Saya amat berharap kami akan mendapat maklum balas positif daripada mereka dan wakil itu memberi harapan yang kali ini ia akan berbeza. Perlu juga ditegaskan yang semua memorandum pernah dihantar oleh badan pelajar dalam beberapa tahun kebelakangan ini tiada sebarang keputusan, tetapi saya tetap berharap,” katanya.

Kaji selidik itu dijalankan secara dalam talian dalam kalangan pelajar UM dari 4 Januari hingga 17 Januari tahun ini, dan mendapati, antara lainnya, 22.5% pelajar UM pernah mengalami gangguan seksual.

Hanya 11.5% mangsa mengambil tindakan manakala sekadar 17% pelajar menyedari kewujudan Kod Antigangguan Seksual.

Kira-kira 76% pelajar tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas terhadap gangguan seksual, manakala separuh daripada pelajar pernah mendengar kes gangguan seksual, termasuk 13% pelajar yang mengetahui lebih daripada lima kes.

Jenis gangguan seksual yang dihadapi termasuk lisan, bukan lisan, fizikal dan visual.

Sekitar 200 pelajar mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut walaupun keseluruhan populasi pelajar UM adalah kira-kira 30,000. Menurut kelab itu, margin kesilapan tinjauan adalah kira-kira 6%.

Perlu perubahan positif

Chin, yang merupakan pelajar tahun ketiga dalam jurusan pengajian Cina dan minor dalam pengajian jantina, berkata ini adalah kali pertama tinjauan seumpama itu dijalankan di UM.

“Kami berpendapat kaji selidik ini penting, terutamanya dalam kes gangguan seksual kerana sentiasa ada khabar angin kes baharu tetapi datanya adalah sulit.

“Kami percaya melalui tinjauan ini, sekurang-kurangnya dapat melihat lebih jelas mengenai situasi gangguan seksual di UM. Hasilnya agak membimbangkan.

“Tetapi dengan kaji selidik ini semata-mata, kami tidak dapat menilai sama ada kes gangguan seksual semakin meningkat, kerana tiada kajian mengenainya sebelum ini.

“Kami merancang untuk membuat satu lagi tinjauan yang lebih terperinci pada masa akan datang, jika boleh dengan penyertaan pihak pengurusan UM, bagi memantau keadaan. Apa yang jelas ialah kesedaran pelajar yang rendah terhadap isu gangguan seksual,” katanya.

“Aduan terbesar mangsa ialah proses siasatan terlalu lama. Malah ada yang menunggu sehingga enam bulan tanpa sebarang hasil. Dan apabila keputusan itu keluar, ia dianggap tidak adil kepada mangsa.

“Inilah sebabnya kami mencadangkan supaya proses itu dipendekkan dan menyediakan rangka kerja untuk hukuman mengikut keterukan dan bilangan kesalahan,” tambah Chin.

Ahli Kelab Feminisme UM menyerahkan memorandum kepada wakil pengurusan universiti. – Gambar The Malaysian Insight, 13 April, 2024.

Dalam memorandum mereka, Kelab Feminisme UM mencadangkan agar UM menubuhkan Jawatankuasa Anti-Salah Laku Seksual (ASMC) di bawah Kesatuan Pelajar Universiti Malaya (UMSU) dan meminda garis panduan antigangguan seksual sedia ada.

Di bawah cadangan pindaan itu, kelab itu mahu UM membuat perubahan positif terhadap tindakan tatatertib ke atas kes gangguan seksual dengan memasukkan garis panduan lebih jelas dan diwakili lebih baik dengan melibatkan pakar serta wakil pelajar, bagi memastikan mangsa diberikan keadilan sewajarnya.

Ia juga mahu hukuman disemak, terutamanya dalam kes pesalah berulang.

Kelab itu berkata pindaan juga perlu memasukkan garis besar yang lebih jelas mengenai apa yang pihak UM telah lakukan dalam memastikan pelajar dan kakitangan tidak terdedah kepada eksploitasi seksual dan/atau gangguan, serta pada masa sama memastikan kerahsiaan dijaga.

Perjalanan masih jauh 

Kelab Feminisme UM juga mahu pihak universiti menggalakkan kesedaran gender dalam kalangan pelajar dan fakulti.

“Dalam memorandum itu, kami membangkitkan tiga tuntutan. Pembentukan ASMC dan cadangan pindaan kepada kod itu adalah agar UM menjadi proaktif daripada cuba menjadi pencegah.

“Kami juga meminta UM memperkenalkan kembali slot semasa minggu orientasi untuk mendidik pelajar mengenai cara menangani isu gangguan seksual.

“Kami juga percaya perlu ada program untuk semua pelajar dan kakitangan UM yang mendidik mereka mengenai isu ini.

“Melawan gangguan seksual adalah perjalanan yang panjang dan pendidikan adalah perkara utama,” kata Chin.

Chin juga menggesa pelajar di UM agar sentiasa peka mengenai isu jantina dan menyokong satu sama lain.

“Perkara terbaik yang boleh kita lakukan ialah mengambil berat tentang isu ini dan menyebarkan kesedaran tentang perkara yang boleh dilakukan untuk mendidik rakan kita dan menyedarkan mereka.”

Chin berkata beliau memulakan Kelab Feminisme UM tahun lepas dan ia masih dalam proses pendaftaran.

Katanya, “kecekapan tipikal UM”, menyebabkan beliau  memulakan kelab itu kerana berdasarkan pengalamannya, hak wanita bukanlah fokus utama dalam kebanyakan kumpulan pelajar di UM.

“Selain itu, saya tidak melihat sebarang pertubuhan feminis belia yang aktif di mana-mana universiti. Bagi mengisi jurang ini, saya mengasaskan kelab ini,” katanya. – 13 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen