Pelajar UM desak mansuh dasar bayar yuran sebelum semester dibuka


PERSATUAN Pelajar Progresif Universiti Malaya (UMPS) menuntut pihak universiti menukar “dasar baki sifar” (zero-balance policy) yang memerlukan pelajar membayar yuran sebelum semester bermula.

Presiden UMPS Nurul Afrina Rosli berkata dasar itu dilaksanakan pada 2019 tetapi dihentikan semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata pelajar terkejut apabila Universiti Malaya (UM) melaksanakan semula dasar itu bulan lepas.

“Ada beberapa pelajar di bawah biasiswa yang hanya mendapat dana selepas semester bermula.

“Tetapi UM mahu kami membayar yuran sebelum semester bermula. Jadi, bagaimana kanu hendak membayar apabila kita tidak mendapat dana?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nurul berkata pelajar kini menggesa UM meminda Perkara 18 (1) Peraturan-Peraturan Universiti Malaya (Ijazah Sarjana Muda) 2019.

“Kami mahu ia dipinda bagi menyahut arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan dasar itu perlu diubah supaya lebih kondusif.

“Kembali kepada kebiasaan kita, iaitu pembayaran yuran sebelum peperiksaan akhir diambil atau pada penghujung semester.”

Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Anwar berkata pelajar yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat daripada mendaftar subjek setiap semester dan yuran boleh dijelaskan selepas pendaftaran.

“Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti mesti mengambil kira kebajikan pelajar,” katanya.

Nurul berkata pelajar universiti itu mahu UM bertindak selaras dengan saranan Anwar yang jelas.

“Justifikasi untuk pindaan ini adalah pada rasional meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai teras pembikinan polisi universiti.

“Dengan erti kata mudah, pihak pentadbiran universiti kini mempunyai tanggungjawab untuk memansuhkan pelaksanaan dasar ‘zero balance policy’ buat selama-lamanya.”

Beliau berkata sekiranya pentadbiran UM gagal mematuhi saranan Anwar, naib canselor perlu meletakkan jawatan dan digantikan oleh seseorang yang benar-benar memahami isu dihadapi oleh pelajar.

“Sebagai pentadbir di universiti terkemuka di negara ini, naib canselor sepatutnya meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai keutamaan sebelum melaksanakan apa jua polisi dan dasar yang ingin diperkenalkan.

“Fahami sedalam-dalamnya kenyataan oleh perdana menteri. Jika tidak, para mahasiswa UM berhak untuk menolak dasar-dasar yang menindas kebajikan mahasiswa oleh pentadbiran universiti yang lebih berpaksikan keuntungan.” – Bernama, 14 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen