Melayu pertama naik haji 


Faisal Tehrani

TOME Pires dikatakan ada mencatat perihal Sultan Mansur Syah (Raja Melaka keenam 1456-1477M) yang berazam dan bersiap untuk menunaikan fardu haji, namun demikian tidak menjadi kenyataan lantaran kesihatan baginda terganggu.

Selain baginda, puteranya Sultan ‘Alauddin Ri’ayah Syah (Raja Melaka ketujuh 1477-1488M) yang menggantikan ayahandanya, turut berazam dan bersiap hendak berangkat ke Mekah.

Sungguhpun begitu, tidak ada catatan yang ditemui untuk menghubungkan pemergian Sultan ‘Alauddin ini malah baginda juga mangkat di usia agak muda.

Dalam Hikayat Hang Tuah pengarangnya menukilkan yang wira Melayu itu menunaikan haji secara tidak sengaja setelah belayar ke Jeddah selama dua bulan dari Aceh. Ketika itu pelayaran ke Aceh dari Melaka adalah memakan masa lima hari lima malam.

Kononnya juga perjalanan Hang Tuah itu, dari Jeddah ke Mekah telah mengambil masa dua malam, seterusnya ziarah ke kota Madinah dari Mekah pula mengambil masa 12 hari 12 malam. Perjalanan pulang dari Madinah ke Jeddah semula bertempoh 11 hari.

Seperti terdakwa, beliau adalah Melayu pertama naik haji. Bersekali dengan Maharaja Setia, Maharaja Dewa, 16 orang hulubalang dan 1600 orang anak kapal. Mereka menggunakan kapal Mendam Berahi dan Sairul’alamin.

Dalam catatan Hikayat Hang Tuah terdapat petikan begini yang menggambarkan ‘Haji Hang Tuah’ itu:

“Setelah sudah maka datanglah pada sembilannya hari bulan Zulhijah. Maka berhimpunlah berjalan sekalian orang Makkah itu pergi dengan Syarif Ahmad itu masing-masing dengan takhta kebesarannya, beberapa ratus tunggul panji-panji daripada sakhlat, dewangga, baldu dan kimkha berkibaran seperti kota cemara, pergi haji ke Bukit Arafah.

“Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun pergilah bersama-sama dengan orang Makkah sekalian itu mengerjakan seperti rukun haji itu. Setelah sudah habislah dikerjakannya, lalu turun ke Mina pula melontar batu yang bernama Jamratul Akabah dan Jamratul Wusta dan Jamratul Ula itu. Setelah sudah, lalu mengorban. Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun bercukur.

“Maka habislah rata seperti syarat perintah haji dan ziarah dan haji umrah semuanya dikerjakannya. Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun kembalilah ke Makkah dengan sekalian orang banyak itu lalu ziarah pula pada Makam Ibrahim. Maka sampailah pada sepuluh hari bulan; tirai Kaabatullah pun disalin oranglah. Maka Laksamana pun membelilah tirai itu barang sedapatnya.

“Setelah keesokan harinya maka Laksamana pun masuklah ke dalam Kaabatullah sembahyang lalu mencium batu yang bernama Hajarul Aswad. Setelah sudah lalu keluar bersama-sama dengan orang banyak lalu tawaf pula ia akan rukun. Telah selesailah habis dikerjakannya maka Laksamana dan Maharaja Setia pun mengambil air pada telaga zamzam itu lalu berjalan ke Madinah bersama-sama dengan kafilah yang banyak itu.”

Saya mempertikaikan pemergian Hang Tuah ke Mekah itu lantaran pengkisahan kerja haji beliau, rukun Islam terbesar hanya beroleh liputan yang sedikit, tidak terperinci dan tidak diuji kesahihannya.

Harus diingat haji adalah satu pengalaman besar untuk orang Melayu, dan gambaran ringkas mengenainya begitu tidak memadai:

‘Setelah sudah maka datanglah pada sembilannya hari bulan Zulhijah. Maka berhimpunlah berjalan sekalian orang Makkah itu pergi dengan Syarif Ahmad itu masing-masing dengan takhta kebesarannya, beberapa ratus tunggul panji-panji daripada sakhlat, dewangga, baldu dan kimkha berkibaran seperti kota cemara, pergi haji ke Bukit Arafah.

“Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun pergilah bersama-sama dengan orang Makkah sekalian itu mengerjakan seperti rukun haji itu. Setelah sudah habislah dikerjakannya, lalu turn ke Mina pula melontar batu yang bernama Jamratul Akabah dan Jamratul Wusta dan Jamratul Ula itu. Setelah sudah, lalu mengorban. Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun bercukur.

“Maka habislah rata seperti syarat perintah haji dan ziarah dan haji umrah semuanya dikerjakannya. Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun kembalilah ke Makkah dengan sekalian orang banyak itu lalu ziarah pula pada Makam Ibrahim. Maka sampailah pada sepuluh hari bulan, tirai Kaabatullah pun disalin oranglah. Maka Laksamana pun membelilah tirai itu barang sedapatnya.

“Setelah keesokan harinya maka Laksamana pun masuklah ke dalam Kaabatullah sembahyang lalu mencium batu yang bernama Hajarul Aswad. Setelah sudah lalu keluar bersama-sama dengan orang banyak lalu tawaf pula ia akan rukun.

“Telah selesailah habis dikerjakannya maka Laksamana dan Maharaja Setia pun mengambil air pada telaga zamzam itu lalu berjalan ke Madinah bersama-sama dengan kafilah yang banyak itu. “Sebagaimana amalan biasa, selepas menunaikan haji, para tetamu Allah akan berkunjung ke kota Madinah. Hal ini turut diperi secara ringkas di dalam Hikayat Hang Tuah.

Terdapat gambaran sepintas lalu pusara dan makam yang diziarahi oleh Hang Tuah, tetapi seperti mana catatan amalan hajinya, ia agak singkat:

“Hatta maka sampailah dua belas hari dua belas malam melalui padang majnun itu, tiadalah pegari sesuatu alamat, melainkan yang dipandang oleh Laksamana hanyalah langit dan bumi juga. Maka Laksamana pun sampailah ke Madinah yang maha mulia itu lalu masuk ke dalam kota Madinah.

“Maka Laksamana pun duduklah dalam Madinah serta ia pergi mengunjung kubur Nabi (S.A.W). Sudah itu maka Laksamana  pun pergi pula ziarah pada kubur Sayyidina Othman di Baqi’ dan kubur Halimah, lalu pergi ziarah kubur Sayyidina Hamzah di kaki bukit yang bernama Jabal Uhud itu.

“Setelah sudah maka Laksamana pun kembali pergi pada kubur S.A.W mengunjungi Nabi Allah dan Sayyidina Abu Bakar dan Omar ibnil Khattab dan Fatimah Zahra’, lalu menjamah mushaf Sayyidina Othman itu lalu mengadap Syeikh Jamaluddin penghulu kubur Nabi Allah itu membawa hadiah seperti kayu gaharu dan cendana dan kemenyan. Maka Laksamana pun duduk dalam Madinah itu sentiasa siang malam mengadap tuan syeikh itu.

“Kira-kira dua belas hari lamanya ia duduk di Madinah itu maka Laksamana dan Maharaja Setia pun memohonlah. Maka dipeluk dicium oleh tuan syeikh itu kepala Laksamana seraya berkata: “Hai anakku Laksamana, minta dijauhkan Allah Ta’ala kiranya bala’ dunia akhirat dan selamat anakku kembali ke negeri mu”.

“Setelah sudah tuan syeikh itu memberi doa akan Laksamana, maka ia pun meniarap pada kaki tuan syeikh itu lalu berjabat tangan. Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun naiklah ke atas unta lalu berjalan turun ke Judah mengikut qafilah yang banyak itu, tiadalah mengikut ke jalan Mekah lagi. Kira-kira sebelas hari lamanya maka Laksamana dan Maharaja setia pun sampailah ke Judah.”

Sebetulnya ada asas untuk meragui Hang Tuah naik haji. Tambahan pula Hang Tuah naik haji secara ‘tidak sengaja’, memandangkan beliau sebetulnya dalam perjalanan untuk ke Turki, tetapi mengerjakan haji setelah dicadangkan oleh Syahbandar Jeddah yang mungkin sahaja hairan melihat orang Melayu, dan Islam tetapi tidak pun pernah tahu tentang rukun Islam kelima itu.

Terdapat kemungkinan Hang Tuah mungkin dihajikan oleh pengarangnya di dalam Hikayat tersebut lantaran ingin memastikan seorang wira Melayu itu tidak kurang hebatnya.

Dalam erti kata lain susahlah kalau wira Melayu tiada pangkal atau gelar Haji.

Terlepas dari itu, satu-satunya dokumen paling tua mengenai haji orang Melayu, tidak dapat tidak adalah seperti yang terselit dalam Hikayat Hang Tuah ini.

Makanya di sebalik watak dan perwatakan Hang Tuah yang liar seperti pemperdaya perempuan, pengampu raja, dan kaki minum itu; beliau juga adalah Pak Haji orang Melayu. – 30 Mei, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen